Halaman

Nuffnang Ads

Isnin, 2 Julai 2012

Elak Miskin Sebelum Waktu

Memiliki ilmu kewangan sangat membantu seseorang kala diri dirunding masalah. Ramai antara kita dilatih untuk mencari wang tetapi tidak ramai yang dididik menguruskan wang setelah memilikinya.

Kesannya, ada yang menghadapi kemiskinan di usia muda kerana tidak mengetahui cara mengurus kewangan mereka.

Menurut Pengasas Hijrah Wealth Management Sdn Bhd, Rohani Mohd Shahir, ramai masyarakat Malaysia yang ditemui ketika menganjurkan seminar, menghadapi situasi kecemasan atau dipanggil ICU berdasarkan kiraan kemewahan mereka.

"Ramai yang antara kita yang menghadapi kemiskinan. Bayangkan mereka hanya menyimpan RM100 sebulan namun jumlah perbelanjaan sehingga RM2,000 setiap bulan.
"Ia menunjukkan jumlah simpanan yang disimpan setiap bulan hanya mampu dibelanjakan untuk tiga hari apabila kita membuat pengiraan kemewahan," katanya.
Jelasnya, merancang pengurusan wang keluar dan wang masuk boleh membantu mengelakkan 'miskin' sebelum waktunya terutama di kalangan generasi muda hari ini.
"Perkara sebegini dapat diatasi jika kita mempunyai perancangan wang kaluar dan wang masuk setiap bulan bagi melihat apa yang perlu dan tidak untuk mengelakkan perbelanjaan keterlaluan.
"Sepanjang hidup yang dilalui, kita sepatutnya memiliki peta kewangan untuk diri sendiri bagi mengetahui ke mana wang kita keluar dan masuk.
"Misalnya, pendidikan, perkahwinan, simpanan, ehsan ibu bapa, percutian, kenderaan, kecemasan dan sedekah bagi memastikan kedudukan kewangan sentiasa berada dalam perancangan.
"Ramai tersilap, apabila duit diterima saja ia terus dibelanjakan berbanding menyimpannya terlebih dahulu selepas menerima gaji.
 "Sebaliknya, duit yang diterima harus disimpan terlebih dahulu kemudian baru digunakan untuk membayar segala hutang dan belanja lain bagi mengelakkan pengeluarannya secara berlebihan.
"Kawal perancangan kewangan anda supaya hutang tidak melebihi 50% daripada gaji," jelasnya.
Rohani menambah, setiap orang perlu memiliki perlindungan diri sebagai persediaan menghadapi sebarang musibah.

Langkah selanjutnya adalah memastikan kita memiliki polisi perlindungan diri bagi menunjukkan yang kita mempunyai nilai apabila berlaku sebarang musibah seperti kematian, ditinggalkan pasangan atau kemalangan yang mengakibatkan kecacatan kekal.
"Ini kerana didapati banyak kes membabitkan kematian suami yang tidak memiliki perlindungan diri. Dia meninggalkan si isteri yang tidak bekerja sekali gus memberi kesusahan kepada seisi keluarga.
"Biarpun begitu, jangan menganggap perlindungan diri untuk kematian sahaja malah ia memberi kebaikan apabila berlaku perpisahan antara suami dan isteri.
"Sepatutnya kita perlu memiliki perlindungan sejak mula bekerja atau sejak awal lagi kerana ia lebih murah berbanding apabila usia sudah meningkat.
"Cukuplah sekadar memiliki dua jenis polisi perlindungan dan jangan mudah terpedaya dengan pujuk rayu ejen selain memahami keperluan dalam perlindungan.
"Lihat sama ada perlindungan yang diberikan itu cukup untuk menyara perbelanjaan bulanan keluarga daripada nilai polisi yang dimiliki ataupun tidak.
"Apa yang penting anda memiliki polisi perlindungan diri dan kad hospital bagi memberi persediaan kepada ahli keluarga apabila berlaku kejadian yang tidak disangka," jelasnya.
Selepas itu, barulah berfikir untuk membuat pelaburan atau simpanan bagi membantu kehidupan di kemudian hari.

Sediakan senarai perbelanjaan setiap hari selama sebulan bagi mengurangkan kos dan  mengamalkan penjimatan dalam kehidupan.
"Jika anda tegas dan mengikut perancangan perbelanjaan disarankan dengan mengumpul resit pengeluaran wang setiap hari, ia pasti dapat menjimatkan lagi kos hidup.
"Lakukan selama tiga bulan dan anda akan dapat lihat hasilnya apabila berjaya menjimatkan perbelanjaan sehingga RM50 sebulan," katanya.

5 Aspek Utama Perancangan Kewangan Islam:-


1.Perancangan Perlindungan

Dalam kehidupan yang dilalui, pasti akan ditimpa pelbagai musibah. Kadangkala kita akan diuji dengan pelbagai perkara seperti kemalangan, hilang upaya kekal, usia tua, kematian dan penyakit kritikal. Fikirkan apa akan terjadi pada keluarga atau anak seandainya kita tidak meninggalkan sebarang persediaan untuk menghadapi kehilangan diri yang banyak membantu mereka daripada segi perbelanjaan. Sediakan payung sebelum hujan adalah perkara terbaik sebelum terlambat dengan membuat perlindungan diri. Sebelum memilih polisi perlindungan, nilaikan terlebih dahulu diri sendiri. Kemudian, barulah kita lihat polisi yang dijanjikan dan cukup sekadar dua jenis takaful seperti perlindungan diri dan kad hospital.

2.Perancangan Pelaburan atau Persaraan

Berapakah angka persaraan anda dan jumlah tabungan yang perlu disediakan sekiranya kita hidup 20 tahun selepas umur bersara? Contohnya, dengan andaian saraan sebanyak RM3,000 maka jumlah perbelanjaan akan mencecah RM720,000. Adakah kita mempunyai tabungan sebanyak itu apabila bersara nanti? Berapakah nisbah kemewahan sekarang? Inilah gunanya nisbah kemewahan untuk mengukur sejauh mana nilai yang kita miliki. Penggunaan formula nisbah kewangan boleh dikira menggunakan cara berikut:-

Contoh:
Tambahkan semua jumlah baki wang tunai, simpanan atau pelaburan dimiliki = RM14,000
Jumlah semua perbelanjaan bulanan sama ada hutang atau belanja dapur = RM2,400
Cara:
RM14,000 dibahagi RM2,400 = RM5.833
Hasil yang diperoleh menunjukkan individu itu hanya cukup 'mewah' untuk sara keperluan hidup selama 5.833 bulan saja.

3.Perancangan Harta dan Warisan

Kematian adalah sesuatu yang pasti. Kebanyakkan orang menyangka hartanya akan diagih secara terus kepada orang tersayang apabila mereka sudah tiada lagi. Malangnya, ia tidak sama seperti sangkaan kita sebaliknya proses pentadbiran harta pusaka perlu mengikut langkah seperti menyelesaikan perbelanjaan pengebumian, hutang (dunia dan akhirat), melaksanakan wasiat, tuntutan harta sepencarian serta membahagikan harta yang tinggal mengikut sistem faraid. Sebaiknya, rancang harta dan waris lebih awal bagi mengelakkan kesukaran yang melanda pewaris apabila anda tiada lagi di dunia.

4.Perancangan Zakat

Harta adalah milik mutlak Allah dan bukan individu. Ia adalah amanah daripada Allah dan sebagai hambanya kita bertanggungjawab ke atasnya. Allah mewajibkan kita membayar zakat dengan jumlah 2.5% harta dimiliki kepada mereka yang berhak menerimanya.

5.Perancangan Sedekah

Apabila kita meninggal dunia, maka terputus segala-galanya kecuali tiga perkara iaitu doa anak soleh, amal jariah dan ilmu yang boleh dimanfaatkan orang lain. Jadi, sudahkah kita membuat perancangan dan menyediakan bekalan untuk kehidupan di akhirat nanti yang kekal abadi? Fikirkan.

Panduan pengagihan gaji mengikut peratusan yang ditetapkan setiap bulan. 

Contohnya mengambil 34% daripada gaji.

20% daripda gaji:
-membayar polisi takaful atau perlindungan diri sebanyak 10%
-pelaburan 5%
-simpanan 5%

14% daripada gaji:
-pembayaran zakat 2.5%
-kebajikan ibu bapa 10%
-lain-lain 1.5% (termasuk sedekah dan wakaf)

Tiada ulasan: