“Bapa saya meninggal dunia dalam peperangan Ogos tahun lalu.
Berdasarkan laporan polis, bapa saya dibunuh pengganas kerana dia adalah
seorang daripada pembantu peribadi Presiden Muammar Gadaffi.
“Sebelum meninggal dunia, dia meletakkan nama saya untuk mewarisi
hartanya bernilai AS$6.8 juta (RM20.8 juta). Bagaimanapun, saya tidak
mahu ibu tiri dan keluarganya tahu mengenai wang berkenaan. “Justeru,
saya minta bantuan untuk menyimpan wang ini dalam akaun selamat dan
saya berharap anda dapat membantu saya. Anda perlu berikan nama penuh,
nombor telefon serta alamat penuh dan saya akan perkenalkan anda dengan
pihak yang menguruskan harta itu untuk membuat perjanjian mengenainya.”
Itu antara kandungan e-mel yang diterima penulis sejak kebelakangan ini
dan pastinya ramai lagi menerima e-mel seumpama itu.
Selepas membuat beberapa andaian, penulis tidak mengambil peduli, malah tidak membalasnya.
Jika difikirkan secara logiknya, tidak ada seorang pun di dunia ini
secara tiba-tiba akan meminta bantuan orang tidak dikenali, tambahan
pula mahu memindah dan menguruskan wang sebanyak itu.
Malah, melihat kepada laporan media, sudah banyak kes penipuan siber dilaporkan gara-gara mangsa mempercayai kandungan e-mel atau SMS yang diterima daripada orang tidak dikenali. Bukan saja e-mel dan SMS, ada juga mangsa ditipu akibat mempercayai rakan yang baru dikenali melalui laman sosial seperti facebook.
Akibatnya mangsa kerugian wang ringgit bukan sedikit, malah ada yang mencecah ratusan ribu ringgit. Lebih mendukacitakan, wang itu hasil simpanan selepas bertungkus-lumus bekerja dan berjimat cermat.
Sebagai contoh satu kes yang dilaporkan akhbar membabitkan seorang
guru wanita kerugian RM15,000 selepas berkenalan dengan seorang lelaki
berasal dari Iraq melalui laman sosial. Lelaki terbabit mendakwa mahu
mempelajari Islam dan berhasrat datang ke negara ini. Ketika
kejadian, suspek memberitahu mangsa yang dia menghadapi masalah dengan
pihak imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
kerana membawa sejumlah besar wang Pound Sterling yang tidak diisytihar.
Mangsa turut menerima panggilan daripada seorang wanita yang
memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen dan bertanya sama ada
mangsa mengenali suspek.
Mangsa kemudian memberikan wang berkenaan kerana kononnya ia adalah syarat untuk membantu lelaki Iraq terbabit.
Ternyata mereka yang menjadikan alam siber untuk melakukan penipuan
sungguh licik dalam setiap kata dan tindakan. Manakan tidak, belum pun
kenal dengan individu terbabit, mangsa sudah menyerahkan wang
dikehendaki.
Pelik juga memikirkan fenomena ini, kerana dalam sesetengah kes mangsa adalah golongan berpendidikan tinggi dan profesional, yang sudah tentu boleh berfikir dengan bijak. Namun, masih dapat ditipu dan terperangkap.
Dalam hal ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ketika berucap merasmikan forum bertajuk ‘Legal Forum for You and Me: Computer Crimes Act 1997 Revisited’ baru-baru ini mengakui isu berkaitan jenayah siber semakin canggih dan kompleks daripada tahun ke tahun. Berdasarkan statistik, katanya, insiden keselamatan siber yang dilaporkan pengguna Internet ke pusat bantuan siber 999 Cybersecurity Malaysia mendapati sebanyak 13,173 insiden keselamatan siber dilaporkan sepanjang tahun lalu. “Jumlah itu menunjukkan wujud peningkatan sebanyak 112.3 peratus berbanding 6,204 insiden dilaporkan pada 2010. Malah, kajian turut membuktikan Malaysia mengalami kerugian RM2.75 bilion akibat jenayah siber bermula 2005 hingga 2010,” kata Liew.
Ini menunjukkan semakin tinggi kecanggihan teknologi, semakin banyak dan rumit isu berkaitan jenayah siber, sekali gus memerlukan langkah proaktif untuk menanganinya.
Jelas sekali ancaman jenayah siber seiring dengan perkembangan teknologi, sebagaimana canggih aplikasi teknologi diperkenalkan, bertambah rumit jugalah ancaman yang mendatang untuk difikirkan dan diselesaikan.
Menyedari risiko dan bahaya ancaman jenayah siber, kerajaan melalui portal Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri misalnya turut memuatkan panduan dan penerangan mengenainya.
Dalam portal itu dijelaskan maksud sebenar ancaman jenayah siber secara ringkas iaitu serangan yang dilancarkan secara maya terhadap infrastruktur, infostruktur, aplikasi komunikasi fizikal dan tanpa wayar.
Enam kategori ancaman siber diklasifikasikan MKN iaitu pencerobohan, penipuan, gangguan, ancaman pencerobohan, kod berbahaya dan gangguan perkhidmatan. Pencerobohan ialah insiden pencerobohan sistem dan aplikasi komputer tanpa kebenaran serta berupaya mengubah kandungan sistem itu, manakala penipuan merujuk kepada sistem penipuan yang menggunakan satu atau lebih komponen Internet serta telekomunikasi. Ia termasuk ruangan chat, e-mel, papan buletin, laman web dan SMS untuk mewujudkan ruangan pembujukan dan transaksi wang seperti laman web atau e-mel menyerupai atau kelihatan seperti badan kewangan atau syarikat yang sahih beroperasi, pelaburan e-dagang atau skim piramid. Bagi ancaman gangguan, ia membabitkan penghantaran mesej, gambar dan video berunsur fitnah, lucah, gangguan dan ancaman kepada pengguna. Sementara ancaman pencerobohan merangkumi serangan ke atas sistem dan aplikasi komputer agensi tertentu dengan tujuan melumpuhkan operasi sistem aplikasi komputer bagi agensi berkenaan. Kategori kelima ancaman jenayah siber ialah kod berbahaya. Ia adalah perisian atau skrip komputer yang diprogramkan untuk menceroboh komputer dan merosakkan sistem. Kod ini termasuklah skrip serangan, virus, worm, Trojan Horse, program Back Door dan kandungan aktif berbahaya.
Gangguan perkhidmatan adalah serangan ke atas sesuatu sistem atau
aplikasi komputer yang mengakibatkan pengguna tidak dapat mencapai dan
menggunakan sistem atau aplikasi berkenaan seperti biasa. Melalui
penerangan MKN itu, jelas ancaman siber bukannya terbatas kepada
beberapa tindakan pencerobohan, malah bersifat menyeluruh. Dalam dunia
langit terbuka ini, dalangnya sanggup melakukan apa saja selagi ada
ruang dan kesempatan.
Justeru, sebagai pengguna, kesedaran mengenai perkara itu amat penting, kerana melalui kesedaran akan terbitnya sikap berhati-hati dan pematuhan kepada langkah keselamatan.
Jangan dek kerana kelalaian, tamak dan terikut nafsu ketika menggunakan alat komunikasi, komputer dan Internet, membuatkan kita menanggung peritnya. Penulis wartawan Harian Metro

Tiada ulasan:
Catat Ulasan