Halaman

Nuffnang Ads

Khamis, 3 Mei 2012

Meminjam Untuk Melabur

Kaedah 'paksaan' berkesan buat simpanan jangka panjang.

Di Malaysia, kaedah penyimpanan dan pelaburan di kalangan orang Melayu didapati sangat rendah iaitu kurang daripada RM20,000.00 bagi setiap individu, sekali gus menunjukkan sebahagian besar masyarakat Melayu tidak mempunyai harta.

Berikutan itu, dalam usaha membantu ekonomi golongan Bumiputera dan memastikan mereka mempunyai sekurang-kurangnya sedikit harta sebelum menginjak usia persaraan, terdapat instrumen pelaburan yang menggunakan unsur 'paksaan' bagi memastikan individu berkenaan mempunyai simpanan jangka panjang.

Walaupun ia berunsur 'paksaan' tetapi individu yang melabur menggunakan instrumen berkenaan rela kerana hanya dengan cara itu saja mereka mempunyai simpanan untuk dimanfaatkan pada hari tua.

Cara begini sesuai untuk individu yang terlalu boros sehingga tidak mampu menyimpan walau RM1 pun sebaik menerima gaji masing-masing dan ia juga sangat berguna bagi golongan berpendapatan rendah yang tidak mungkin mampu menyimpan dalam kadar yang banyak setiap bulan.

Terdapat instrumen pelaburan berisiko rendah, memberi peratus pulangan tinggi melalui dividen dan bonus setiap akhir tahun, pelaburan pokoknya dijamin tidak akan susut nilai oleh kerajaan dan hanya memerlukan modal yang rendah.

Penganalisis ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, setiap individu perlu bijak memilih jenis pelaburan yang boleh mendatangkan keuntungan jangka panjang, bukannya merugikan kerana kadar inflasi serta nilai pelaburan yang menyusut juga perlu diambil kira ketika membuat keputusan untuk melabur.

Beliau yang juga pensyarah bagi kursus Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) berkata, pendapatan yang kecil atau sikap boros membuatkan seseorang itu terpaksa mengambil pendekatan memohon pinjaman bagi tujuan pelaburan.

"Hanya dengan cara meminjam, seseorang itu mempunyai wang untuk menyimpan wang seterusnya mempunyai harta dan ini adalah usaha pelaburan secara paksaan.

"Bagi yang membuat pinjaman, mereka boleh melabur secara maksimum misalnya dalam amanah saham yang dijamin kerajaan," katanya.

Menurutnya, pada tahun pertama seseorang itu hanya perlu membayar faedah saja tetapi mulai tahun kedua dia tidak perlu membayar menggunakan duit poket sendiri sebaliknya menggunakan dividen hasil pelaburan untuk menjelaskan ansuran bulanan sehingga tamat tempoh perjanjian pinjaman.

Katanya, walaupun tidak menikmati wang dividen pada akhir setiap tahun sepanjang perjanjian pinjaman pelaburan berjalan tetapi sekurang-kurangnya pelabur akan mendapat modal pelaburan penuh selepas tamat tempoh perjanjian dan selepas itu dia boleh menikmati dividen yang dijana.

"Tempoh perjanjian pinjaman jangka panjang seperti ini selalunya selama 15 tahun. Jadi selepas 15 tahun, seseorang itu akan dapat duit yang banyak hasil simpanan paksaan yang mungkin dia tidak mampu kumpulkan sekiranya perlu menyimpan sendiri untuk tempoh sama.

Skim seperti ini sememangnya sangat menarik dan ia dianggap senario yang positif kerana individu tidak perlu bersusah payah manyimpan setiap bulan dan dengan modal yang kecil, pelabur berpeluang menikmati keuntungan yang banyak," katanya.

Namun Dr Barjoyai mengingatkan bahawa membuat pinjaman untuk tujuan pelaburan jangka panjang mempunyai keburukan tersendiri sekiranya tidak pandai memilih instrumen pelaburan.

Ini kerana ada instrumen pelaburan yang boleh menyebabkan modal asas yang dilaburkan susut nilai akibat inflasi dan tiada jaminan daripada kerajaan, menyebabkan seseorang menanggung kerugian.

Menurutnya, apabila perjanjian ditandatangani, ia membabitkan pembayaran dalam jangka panjang atas modal pokok seperti yang ditetapkan. Sekiranya modal asas mengalami susut nilai tetapi jumlah pembayaran bulanan tetap sama, maka pelabur akan mengalami kerugian.

"Misalnya pelaburan dalam 500,000 unit saham tetapi akibat kegawatan ekonomi, ia susut nilai dan sukar untuk meningkat kembali menyebabkan nilainya hanya bersamaan 100,000 unit saham.

"Hutang yang kena bayar tetap pada nilai sama walaupun harganya turun dan ia sudah tidak menguntungkan lagi. Kalau boleh, wujudkan pelaburan yang selamat.

"Walaupun meminjam untuk melabur mampunyai baik dan buruknya, tetapi dari segi prinsip sekiranya kita mampu memilih pelaburan yang bertahan, tidak terjejas dengan kegawatan ekonomi dan memberi anggaran pulangan melebihi kos membayar balik pinjaman, maka kita memilih jenis pelaburan yang terbaik dan sudah untung," katanya.

Katanya, ada pelaburan yang memberikan keuntungan antara 7% hingga 10% tetapi bayaran balik cuma 5%, maka ada beza keuntungan di situ yang disebut sebagai kesan penggandaan pinjaman dan ia memberi kelebihan kepada pelabur.

Menurutnya, antara pelaburan terbaik dan tidak susut nilai adalah pelaburan emas di mana sejak 5 hingga 6 tahun lalu, harganya meningkat sehingga 30%.

"Misalnya individu memilih membuat pelaburan dalam dinar emas dan harga emas naik dalam beberapa tahun hingga ke paras 30% sedangkan dia hanya perlu membayar 5% kepada bank, maka keuntungan yang diperoleh sangat lumayan iaitu 25%.

"Antara pelaburan yang menguntungkan adalah pelaburan dalam perniagaan ladang kelapa sawit di mana setiap satu ekar tanah dijual kepada seorang pelabur dan keuntungan yang dijana ladang kelapa sawit adalah antara 15% hingga 30% setiap tahun.

"Peluang pelaburan seperti inilah yang perlu dicari oleh pelabur kerana ia menjanjikan pulangan lumayan tetapi berisiko rendah," katanya.

Dr Barjoyai berkata masyarakat perlu berubah dan memperbaiki ekonomi masing-masing kerana walaupun Malaysia dalam usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi tetapi masih ramai yang bergaji di bawah RM3,000.00 sebulan.

Berbekalkan gaji sebanyak itu adalah sukar bagi seseorang menyimpan sendiri tanpa menggunakan kemudahan pinjaman untuk membuat pelaburan jangka panjang.

Senario masyarakat yang mempunyai kemampuan ekonomi yang rendah akan berubah dalam tempoh 15 tahun lagi sekiranya mereka bermula dari sekarang dengan membuat pelaburan menguntungkan.

"Sekurang-kurangnya dalam tempoh 15 tahun, mereka akan mempuyai antara RM50,000.00 ke RM200,000.00 - satu jumlah membolehkan kita hidup sederhana dan selesa terutama selepas bersara," katanya.

1 ulasan:

2bz4money berkata...

Prof Barjoyai ni ajar aku waktu MBA dulu. Dia juga pengarang buku Pengurusan Kewangan Keluarga, buku yg paling awal mengenai pengurusan kewangan peribadi.