Halaman

Nuffnang Ads

Isnin, 16 Julai 2012

Terima Kasih Saya Tidak Mahu

Kempen Tak Nak sudah lama berlalu. Walaupun kempen yang dilancarkan pada 2004 itu bertujuan menangani isu merokok, jika diperhalusi, ia juga boleh dijadikan kempen peribadi untuk memperkukuh hati terutama dalam perkara yang berkaitan dengan aktiviti membeli-belah.

Memang tidak dapat dinafikan wanita lebih bijak menabung berbanding lelaki tetapi ramai juga wanita yang mudah terjebak dengan iklan tawaran jualan murah yang paling cepat memikat perhatian mereka.

Sikap ini ada baiknya kerana sebagai menteri kewangan rumah tangga, wanita memang perlu peka dengan perubahan harga barang supaya mereka boleh berjimat apabila membeli barangan keperluan keluarga termasuk barangan dapur.

Malangnya apabila keluar berbelanja, ramai yang sering terbabas membeli barang yang tidak atau kurang perlu, apatah lagi jika harganya dirasakan sangat munasabah. Adakalanya ketika berjalan-jalan di kompleks beli-belah dengan kawan-kawan pun kita boleh terjebak membeli kerana terpengaruh dengan iklan atau tawaran murah.

Perkara ini bukan dihadapi wanita sahaja kerana ramai lelaki turut berhadapan masalah yang sama. Pun begitu, ada orang cukup teguh hatinya, tidak tergoda dengan pelbagai iklan yang mengumpan atau pujukan kawan-kawan.

Sebenarnya bukan mudah untuk berkata 'tak nak' atau 'tidak' kepada diri sendiri, apatah lagi jika harga yang ditawarkan amat menarik dan berpatutan. Namun ada beberapa cara yang kita boleh amalkan untuk melatih diri menahan keinginan berbelanja.

  • Katakan 'tidak mahu, terima kasih' kepada jurujual yang menayangkan pelbagai barangan dengan harga diskaun. Jangan risau, mereka sudah biasa berdepan dengan penolakan, jadi anda tidak perlu bimbang jurujual ini berasa sedih. Cuma satu perkara yang perlu diingat, tolak pujukan mereka dengan baik dan sopan.
  • Buat keputusan sebelum anda pergi ke pusat beli-belah. Caranya dengan membuat senarai barang yang anda perlu saja. Senarai ini boleh menjadi peringatan kepada anda bahawa anda tidak boleh berbelanja ikut hati.
  • Sabarkan hati dengan menunggu beberapa hari sebelum anda mahu membeli satu-satu barang terutama yang agak mahal harganya. Dalam tempoh ini anda boleh berfikir sama ada masih membeli barang berkenaan atau tidak. Biasanya desakan dan keinginan ini akan surut dalam masa beberapa hari. Namun jika desakan hati tetap tidak surut selepas empat atau lima hari, maka bolehlah membeli barang yang menghantui fikiran itu.
  • Bawa wang tunai secukupnya. Ia dapat mengelakkan anda terlebih berbelanja. Bagi mereka yang masih ghairah menggunakan kad kredit, ada satu perkara yang perlu anda ketahui iaitu kad plastik ini boleh memperdaya fikiran kita yang membuatkan kita berasa tidak berbelanja, kata perancang kewangan bertauliah dan penulis siri artikel On The Road, Sheryl Garrett. Kita tidak akan berasa kesan berbelanja besar selama beberapa minggu sehinggalah kita menerima penyata daripada syarikat kewangan. Kata Garrett lagi, berdasarkan kajian Dun & Bradstreet, mereka yang berbelanja dengan wang tunai boleh berjimat antara 12% hingga 18% bagi sekali perbelanjaan berbanding pengguna kad kredit.
  • Jangan jadikan membeli-belah atau berkunjung ke pusat beli-belah sebagai aktiviti sosial yang menyeronokkan. Ada kajian mendapati pengunjung pusat beli-belah bersama kawan-kawan mempunyai kebarangkalian 7% lebih tinggi untuk berbelanja berbanding mereka yang pergi sendirian. Justeru, jika anda tetap mahukan teman, bawalah kawan yang bukan 'kaki berbelanja'.
  • Kenali perkara yang boleh mencetuskan keinginan anda untuk berbelanja. Jika anda jenis orang yang mesti beli sesuatu apabila berkunjung ke pusat beli-belah, tetapkan supaya pembelian itu tidak melebihi jumlah tertentu contohnya RM30. Pun begitu jangan buat 'pengharaman mendadak' (daripada membeli barang) kerana hati anda akan lebih mendesak untuk berbelanja.
  • Tolak tawaran yang mengatakan 'tidak perlu bayar sehingga...'. Jika tawaran itu kelihatan terlalu baik untuk dilepaskan (kerana anda tidak perlu bayar selama beberapa bulan), ia bermakna anda sebenarnya tidak mampu memiliki barang berkenaan. Jangan layan keinginan yang akhirnya boleh menjerat diri sendiri kerana ada sesetengah syarikat akan mengambil balik barangan yang tertunggak bayarannya.
  • Usah biarkan orang lain menentukan standard hidup anda. Anda tidak perlu mengikut kata-kata orang kerana hanya anda saja yang tahu kemampuan kewangan anda sendiri. Kita berbelanja ikut kemampuan, bukan kemahuan.
  • Hapuskan mentaliti 'anda perlu memiliki semua'. Sebenarnya dalam hidup ini, keperluan kita sangat sederhana. Kita masih boleh hidup dengan baik jika bersederhana dalam semua perkara.
  • Usah terpedaya dengan janji manis skim cepat kaya (dengan impian mahu menggunakan wang itu untuk berbelanja sakan). Anda perlu sedar di seluruh dunia sudah ramai yang menjadi mangsa. Ketahuilah bahawa tiada jalan mudah untuk kaya. Jadi buat apa kita membazirkan sedikit wang yang kita ada untuk kesenangan orang lain?

Tiada ulasan: