Halaman

Nuffnang Ads

Ahad, 27 Mei 2012

Berjimat Masa Cuti Sekolah

Barangkali ada ibu bapa yang 'resah' apabila cuti sekolah menjelang apabila terpaksa berhadapan dengan bajet keluarga yang lazimnya sentiasa tidak mencukupi. Ada saja yang mahu dibeli si anak meskipun mereka banyak menghabiskan masa di rumah apatah lagi jika mahu berjalan-jalan bersama teman atau seisi keluarga.

Apapun menerusi perancangan yang baik, ibu bapa juga berpeluang untuk berjimat seandainya sedia membuat senarai belanjawan keperluan dan perbelanjaan luar jangkaan ketika bersama anak sepanjang cuti sekolah.

Antara aspek penting adalah keperluan mereka yang barangkali terlepas pandang. Ini termasuk wang poket anak, pembiayaan tuisyen serta penghantaran anak ke kem motivasi yang perlu dimasukkan dalam senarai bajet agar ibu bapa tahu jumlah pengeluaran bagi musim cuti sekolah tidak berlebihan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alfalah Consulting, Ahmad Sanusi Husain, ibu bapa perlu peka keperluan semasa dalam menguruskan kewangan ketika anak berada di rumah.
"Menjelang cuti sekolah, ibu bapa biasanya menghantar anak ke kem mahupun kelas tuisyen bagi mengisi masa anak dengan aktiviti manfaat.
"Justeru, sebaik-baiknya mereka memperuntukkan sebahagian pendapatan bagi tujuan itu selain perbelanjaan dalam penyediaan makanan untuk keluarga.
"Apabila sudah mengeluarkan sebahagian pendapatan bagi tujuan itu, bahagian wang poket anak serta penyediaan makanan boleh dikurangkan kerana lazimnya, ketika anak mengikuti kem tertentu, perbelanjaan mereka ditanggung pihak penganjur," katanya.
Dalam usaha berjimat sepanjang cuti sekolah, beliau turut mengingatkan ibu bapa bahawa perbelanjaan sewaktu cuti sekolah dapat dijimatkan apabila ibu bapa makan bersama keluarga di rumah.
"Ibu bapa turut mempunyai ruang untuk berbelanja cermat apabila menyediakan sendiri makanan di rumah berbanding membawa keluarga menikmati makanan di restoran.
"Namun, adakalanya mereka juga perlu membawa keluarga makan di luar untuk menikmati waktu kualiti bersama. Apapun, memadailah ia dilakukan satu atau dua kali seminggu agar dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan, seisi keluarga." katanya.
Selain itu, menurutnya, wang saku yang diberikan kepada anak tidak seharusnya melebihi jumlah wang belanja seharian yang biasanya diberikan ketika anak bersekolah.
"Untuk mengelak daripada terlebih bajet, wang poket yang diberikan kepada anak ketika cuti sekolah hanya diberikan sekiranya mereka ingin keluar rumah.
"Jumlah diberi mestilah tidak jauh berbeza daripada jumlah yang diberikan pada hari persekolahan. Ini juga satu cara bagi ibu bapa mengawal perbelanjaan dengan baik ketika cuti sekolah," katanya.
Selain itu, menurutnya, ibu bapa juga harus memperuntukkan 10% hingga 20% daripada jumlah pendapatan sebagai tabungan.

Berikut panduan yang boleh diikuti untuk membantu keluarga mengawal perbelanjaan ketika cuti sekolah:

  • Mulakan dengan membuat senarai perbelanjaan termasuk bajet luar jangkaan.
  • Sebaik anak dihantar mengikuti kem cuti sekolah, jumlah penyediaan makanan perlu dikurangkan mengikut keperluan semasa.
  • Elaun atau wang poket khusus untuk anak hanya diberikan apabila mereka keluar rumah saja. Namun jumlah berkenaan tidak boleh melebihi jumlah diberikan ketika persekolahan biasa.
  • Peruntukan masa makan bersama di rumah berbanding kerap menjamu selera bersama di luar. Ini kerana biasanya kos makan sekeluarga di restoran lebih tinggi apatah lagi jika ia membabitkan bilangan ahli keluarga yang ramai. Selain boleh mengurangkan kos belanja dapur, makan bersama di rumah juga mampu mengeratkan ikatan silaturahim seisi keluarga.
  • Pelbagai jenis perbelanjaan mungkin tidak dapat dielakkan terutama melunaskan bil bulanan. Namun usah lupa untuk memperuntukkan sejumlah wang daripada pendapatan sebagai tabungan masa hadapan.

Tiada ulasan: