Bercuti memang menyeronokkan dan senantiasa dinantikan setiap keluarga terutama yang senantiasa sibuk dengan pelbagai urusan.
Ketika itulah hubungan kekeluargaan kian erat termasuk sesama suami isteri selain menghabiskan masa berkualiti bersama anak-anak ke tempat menarik.
Namun percutian tanpa dirancang tidak memberi makna kerana ia boleh mengakibatkan masalah lain pula antaranya 'bajet lari' sehingga hasrat bercuti terbantut atau terhenti separuh jalan.
Bagi memastikan percutian yang diimpikan keluarga sama ada di dalam atau di luar negara dapat direalisasikan, perancangan kewangan yang kukuh dan berdisiplin dalam jangka masa panjang perlu dilakukan seawal mungkin.
Penganalisis ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai, berkata keluarga yang mahu bercuti perlu wujudkan satu tabung atau program simpanan jangka panjang dalam tempoh tertentu.
Selain itu, pastikan jadual penyimpanan diikuti dengan tepat dan berdisiplin, sekiranya mahu mencapai matlamat yang ditetapkan.
Sebagai contoh, apabila sebuah keluarga yang mempunyai lima anak berhasrat menunaikan umrah bersama, mereka memerlukan kira-kira RM30,000 untuk merealisasikan impian itu.
Katanya, keluarga berkenaan perlu membuat program simpanan jangka panjang misalnya dalam tempoh lima tahun yang mana setiap bulan mereka perlu memasukkan RM500 dalam tabung umrah itu.
"Namun mereka perlu berdisiplin dengan menyimpan secara tetap setiap bulan supaya dalam tempoh lima tahun, hasrat itu akan dapat dicapai," katanya.
Dr Barjoyai berkata, kos percutian terbahagi kepada tiga bahagian iaitu perjalanan, kediaman dan perbelanjaan lain termasuk membeli-belah barangan untuk diri sendiri dan cenderahati kepada teman serta sanak saudara.
Katanya, jika ingin bercuti ke luar negara, belanjawan yang dibuat perlu mangambil kira kadar pertukaran asing wang di negara yang ingin dituju supaya ia mampu menampung kos sepanjang percutian.
"Bila kita ingin bercuti ke luar negara, kita perlu membuat sedikit penyelidikan mengenai negara terbabit supaya belanjawan yang tepat dapat dibuat antaranya dengan mengambil kira kos hotel, tambang pengangkutan, kos makanan serta kos membeli-belah.
"Kemudian apabila sedang bercuti, latih diri untuk mencatat perbelanjaan dan menyimpan setiap resit pembayaran termasuk resit tambang teksi dan pembelian pelbagai barang. Selain itu, buat satu akaun untuk membandingkan antara belanjawan yang dibuat dengan perbelanjaan yang sudah digunakan.
"Sebelum tidur setiap malam, boleh lihat balik perbelanjaan pada hari berkenaan dan membuat penyesuaian sekiranya ada perbelanjaan yang terlebih," katanya.
Sekiranya didapati pada hari pertama bercuti wang yang digunakan melebihi peruntukan, maka hari kedua, peruntukan perbelanjaan perlu dikurangkan supaya ia dapat diselaraskan dengan belanjawan dan tidak menimbulkan masalah kewangan hingga menyebabkan kekurangan duit di negara orang.
Katanya, sekiranya perbelanjaan tidak dirancang dengan teliti, ia boleh memberi impak yang besar jika berlaku kejadian tidak disangka misalnya terlepas penerbangan pulang atau tertinggal bas.
"Memang ada berlaku keadaan seperti orang terkandas di lapangan terbang dan tidak dapat pulang kerana tidak cukup duit untuk membeli tiket dan ia antara perkara paling ditakuti boleh berlaku sekiranya tidak merancang kewangan dengan baik," katanya.
Selain itu, Dr Barjoyai berkata, pembelian cenderahati tidak dirancang atau beli-belah secara melampau selalu menimbulkan masalah kepada mereka yang bercuti ke luar negara.
Memang menjadi adat orang yang bercuti membawa pulang ole-ole kepada rakan dan saudara di tanah air tetapi ia tidak seharusnya menimbulkan masalah sekiranya pandai mencari barangan unik yang tidak ada di Malaysia. Tetapi pada masa sama, harganya haruslah munasabah untuk dibawa balik dan diberi kepada seramai yang mungkin.
"Peruntukan perbelanjaan kepada setiap ahli keluarga juga perlu ditetapkan contohnya setiap orang hanya boleh berbelanja RM100 saja sehari dan tidak boleh lebih daripada itu.
"Sekiranya melebihi daripada peruntukan untuk hari itu, ia perlu ditolak daripada perbelanjaan pada hari lain supaya belanjawan dipatuhi," katanya.
Antara kelebihan zaman moden adalah kamera digital dan ia boleh menjimatkan wang yang banyak kerana tidak perlu beli filem atau mencucinya, cukup sekadar membeli kad memori, merakam kenangan dan memasukkan ke dalam komputer untuk ditatap serta dikongsi bersama rakan-rakan melalui internet.
Katanya, disiplin yang tinggi penting untuk merealisasikan program percutian, misalnya di negara Barat, seseorang akan merancang sesuatu percutian satu tahun lebih awal, termasuk mengambil cuti, menempah hotel, tiket perjalanan dan menyesuaikan program simpanan mereka dengan percutian yang dirancang itu.
"Jadi ia bukan satu perkara yang dibuat main-main tetapi diambil serius dan perlu perancangan teliti. Berbeza jika sesuatu keluarga berhasrat bercuti di dalam negara saja, mereka tetap perlu menyimpan untuk bercuti tetapi ia lebih fleksibel," katanya.
Walaupun bercuti di dalam negara, jenis tempat penginapan, kos, sewaan kenderaan dan kos minyak juga perlu dirancang supaya belanjawan tidak terganggu.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan