Halaman

Nuffnang Ads

Isnin, 14 Mei 2012

Ukur Baju Di Badan Sendiri @ Biar Papa Asal Bergaya

Sebaik saja mendiang Steve Jobs mengumumkan pelancaran inovasi terkini Apple Inc yang popular dengan siri iPhone dan iPad di seluruh dunia secara besar-besaran, berpusu-pusu masyarakat global beratur malah tertidur di luar pusat beli-belah terpilih semata-mata ingin memiliki teknologi terkini syarikat gergasi terbabit.

Demam itu bukan hanya melanda golongan dewasa bahkan remaja yang masih di bangku sekolah juga tidak ketinggalan berlumba-lumba mengejar kecanggihan teknologi komunikasi terkini biarpun terpaksa menunggu dalam jangka masa agak panjang sebelum ia tiba ke tangan mereka.

Harga mencecah ribuan ringgit bukan alasan bagi pengumpul koleksi gajet teknologi terkini apatah lagi lambakan inovasi di pasaran dengan pelbagai jenama antarabangsa mahupun tempatan memeriahkan lagi 'kegilaan' orang ramai.

Namun begitu, pernahkah terfikir apakah penanda aras yang ditetapkan sebelum menggores kad kredit, beratur di mesin juruwang automatik (ATM) atau mengeluarkan wang tunai di poket?

Adakah keperluan yang diutamakan ataupun sekadar mengejar trend terkini gara-gara cemburu dengan koleksi terkini dimiliki si teman?

Ketua Pegawai Eksekutif Alfalah Consulting, Ahmad Sanusi Husain, berkata prinsip keperluan harus diutamakan apabila membabitkan pembelian produk teknologi terbaru bukan sekadar ingin mengikut trend semasa.

"Diakui gajet menjadi satu kegilaan orang ramai masa kini termasuk pelajar, tetapi ia bergantung kepada keperluan individu. Pembeli seharusnya bijak untuk mengawal dan menguruskan perbelanjaan mereka jika benar-benar ingin membeli gajet terbabit.

"Tidak semestinya mereka memilih gajet berjenama berharga mahal dan menolak inovasi dijual pada harga berpatutan kerana harga bukan penentu kualiti sesuatu produk. Ada juga gajet berjenama memiliki kualiti rendah malah cepat rosak.

"Oleh itu, saya sarankan pembeli merujuk pakar bidang teknologi atau menjadikan majalah dan Internet sebagai panduan sebelum membeli.

"Jangan sesekali kehendak mengatasi keperluan dan kemampuan diri hingga mengakibatkan kita dibelenggu hutang. Manfaat pinjaman peribadi ditawarkan instituasi perbankan temmpatan tidak seharusnya disalahgunakan.

"Pepatah Melayu 'ukur baju di badan sendiri' wajar dilaksanakan. Ketepikan peribahasa rojak yang mengutamakan kehendak berbanding kemampuan seperti 'biar papa asal bergaya," katanya.

Menurutnya, barangan teknologi tidak memiliki nilai pulangan yang tinggi sebaliknya mudah susut nilai berikutan perkembangan pesat industri terbabit.

Cukuplah sekadar anda membeli gajet yang benar-benar memenuhi keperluan sama ada daripada segi fungsi, kegunaan serta kapasitinya, usah terlalu mengikut trend hingga mengakibatkan anda didatangi masalah kewangan kemudian hari.

Tip sebelum membeli gajet terkini


1) Buat semakan harga

Anda dinasihatkan menyemak harga terlebih dahulu sebelum membeli gajet terkini. Lawati stor mahupun kaunter lain yang turut menjual gajet terbabit, jika anda beruntung, kemungkinan anda berpeluang memperoleh harga jauh lebih murah lagi berpatutan.

2) Buat semakan jenama

Di pasaran, terdapat pelbagai jenama sama ada antarabangsa mahupun tempatan yang turut menghasilkan inovasi memiliki fungsi dan kapasiti yang hampir serupa. Bagi pembeli yang berteraskan hasrat memenuhi keperluan, wajar membuat semakan, pada masa sama kos pembelian boleh dikurangkan.

3) Buang stigma 'barang mahal berjenama lebih baik, barang tidak terkenal rendah kualitinya'

Siapa yang mengeluarkan teori bahawa produk keluaran jenama terkenal ataupun mahal tiada cacat celanya? Buangkan anggapan berkenaan kerana tidak semestinya gajet pada harga berpatutan gagal memenuhi kriteria kualiti terbaik. Tapi ia berbeza bagi individu yang dikategorikan sebagai pengumpul gajet jenama tertentu.

4) Rujukan

Sebelum membeli atau menggantikan sesuatu gajet kerana mengikut trend, sewajarnya anda mendapatkan nasihat atau rujukan daripada individu yang mempunyai pengetahuan mengenainya. Jika tiada, anda boleh membelek majalah gajet malah pembacaan menerusi surat khabar atau Internet boleh dijadikan panduan sebelum membeli.

5) Jangan terburu-buru

Usah tergesa-gesa mengikut trend gajet, sebaliknya faktor utama memilikinya. Ini kerana gajet terutama telefon mengalami susut nilai yang tinggi dan industri teknologi cepat berubah, anda mungkin akan kepenatan ataupun kerugian jika terlalu mengejarnya.

6) Amati nilai Islam

Ditekankan anda kita membeli sekadar untuk mengikut perkembangan semasa teknologi tanpa keperluan, berlakunya pembaziran dalam perbelanjaan. Jadi, fikirkan secara rasional sebelum bertindak membeli gajet terkini tanpa sebarang fungsi khas.


Tiada ulasan: