Kepentingan menyimpan wang demi kesejahteraan masa depan sememangnya perlu, namun kaedah yang dipilih bagi menggandakan simpanan di hari tua saja yang berbeza mengikut pemahaman dan pandangan masing-masing.
Ada yang membuat pinjaman kerana berpendapat ia lebih menguntungkan dirinya dalam jangka panjang tetapi ada pula yang bersifat lebih tradisional dan tidak gemar berhadapan dengan risiko atau bebanan tanggungjawab membayar balik faedah kepada bank.
Berbanding golongan lebih berumur, semakin ramai orang muda mengambil pendekatan membuat pinjaman dengan bank bagi melabur dalam amanah saham kerana mereka ingin menikmati jumlah dividen lebih tinggi setiap bulan tanpa perlu menunggu lama untuk mencukupkan simpanan berbanding menyimpan sendiri.
Bagi pengurus jabatan kewangan korporat, Azril Haris Mat, berkata menyimpan dalam amanah saham secara pinjaman mempunyai kebaikannya tersendiri kerana seseorang itu sudah mendapat dividen penuh bagi jumlah yang ada dalam akaunnya tanpa perlu menunggu lama untuk mencukupkan kuota supaya ia boleh menikmati jumlah sama.
Katanya, sebagai contoh sekiranya seseorang menyimpan sendiri setiap bulan sehingga mencapai jumlah RM10,000.00, ia mungkin mengambil masa lebih setahun.
Menurutnya, apabila sampai ke akhir tahun, individu itu masih tidak berkesempatan menikmati dividen untuk jumlah berkenaan berbanding sekiranya mempunyai jumlah RM10,000.00 secara sekali gus dalam akaun menggunakan dengan kaedah pinjaman.
"Sekiranya kita meminjam terus RM10,000.00 kemudian buat pembayaran RM100.00 sebulan kepada bank, jumlah yang kita bayar itu tidak tinggi tetapi kita sudah mendapat dividen untuk tahun itu bagi nilai RM10,000.00.
"Namun sekiranya kita memilih kaedah menyimpan sendiri dengan memasukkan RM100.00 dalam akaun amanah saham setiap bulan untuk mendapat RM10,000.00, ia bukan saja mengambil masa, kita juga tidak sempat hendak merasai dividen pada tahun itu untuk jumlah sama.
"Saya juga pernah membuat cara meminjam untuk manyimpan dalam amanah saham dan saya rasakan ia mempunyai kelebihan tersendiri.
"Contohnya selepas dua tahun saya mempunyai simpanan melalui pinjaman, dividen yang saya dapat adalah kira-kira RM700.00 setahun," katanya.
Azril berkata, cara meminjam sesuai untuk mereka yang tidak mempunyai banyak wang untuk menyimpan dalam jumlah besar setiap bulan tetapi tetap menikmati dividen sama dengan individu yang mempunyai simpanan yang tinggi.
Katanya, ia juga sesuai untuk mereka yang kurang berdisiplin menyimpan wang setiap bulan kerana dengan cara meminjam, mereka mempunyai rasa tanggungjawab untuk membayar balik disebabkan ia dikenakan faedah sekali gus melatih diri untuk menyimpan.
"Nama pun pinjaman, jadi kita kenalah membayar balik dan di situ secara tidak langsung wujud tanggungjawab menyimpan setiap bulan dengan sesaran menikmati dividen yang ditawarkan.
"Pinjaman ini sebenarnya tidak membebankan individu kerana kita sepatutnya mengambil pinjaman mengikut kemampuan membayar balik setiap bulan.
"Sekiranya hanya mampu memasukkan RM100.00 sebulan, maka bolehlah membuat pinjaman setakat RM10,000.00 tetapi sekiranya mampu membayar lebih RM1,000.00 sebulan, boleh juga membuat pinjaman RM100,000.00," katanya.
Menurut Azril, simpanan lebih besar dalam amanah saham menjanjikan pulangan dividen lebih banyak setiap tahun tetapi bayaran balik yang tinggi mungkin membebankan mereka yang tidak mampu.
Katanya, bagaimanapun, wang simpanan yang ada dalam akaun melalui pinjaman hanyalah berbentuk sijil dan sekiranya seseorang tidak mampu membayar balik mengikut perjanjian, wang itu akan diambil balik dan hanya mendapat dividen selepas ditolak bayaran bulanan.
"Ada amanah saham menawarkan pulangan dividen sebanyak 7% setahun sedangkan melalui pinjaman kita hanya perlu membayar faedah 4%, maknanya di situ ada perbezaan 3% keuntungan yang boleh dinikmati pelabur," katanya.
Menurut Azril, setiap pinjaman mempunyai syarat dan risikonya, maka sebelum mengambil pinjaman dengan mana-mana institusi kewangan, seseorang itu perlu tahu kemampuannya untuk membayar balik secara bulanan dan bukan hanya memikirkan keuntungan jangka panjang semata-mata.
Namun katanya, bagi yang lebih berkemampuan menyimpan sendiri, lebih baik sekiranya mereka menggunakan duit sendiri tanpa mengharapkan bantuan kewangan dari mana-mana bank.
Sementara itu, suri rumah, Mussawar Jahan Ghulam Rasool, 60, berkata kaedah menyimpan menggunakan wang yang diperoleh hasil pendapatan sendiri tanpa bergantung kepada pihak lain lebih baik kerana seseorang tidak perlu mempunyai tanggungjawab serta bebanan untuk membayar balik setiap bulan kepada bank.
Katanya yang sudah menyimpan dalam akaun amanah saham sejak 1997, selain boleh menyimpan mengikut kemampuan sendiri setiap bulan, menyimpan tanpa pinjaman membuatkan seseorang itu bebas tetapi beringat untuk berjimat demi masa depan.
"Berdasarkan pengalaman saya, menyimpan sendiri lebih menguntungkan kerana walaupun mengambil masa agak lama untuk memenuhkan akaun tetapi ia memberi keuntungan berlipat ganda.
"Kita tidak perlu membayar faedah kepada bank sedangkan wang yang digunakan untuk bayaran faedah itu sendiri sebenarnya boleh menjadi modal untuk kita mendapat dividen.
"Kaedah meminjam mungkin sesuai untuk orang yang mahukan dividen dengan cepat tetapi ia mengikat mereka kepada satu tanggungjawab berat yang berkemungkinan boleh membebankan," katanya.
Mussawar berkata, ini kerana ada kemungkinan secara tiba-tiba seseorang itu memerlukan wang yang banyak pada bulan berkenaan bagi menyelesaikan sesuatu perkara penting seperti kecemasan, tetapi ia tidak cukup wang kerana terpaksa pula membayar kepada bank untuk simpanannya.
Katanya, simpanan seharusnya dilakukan secara rela dengan cara memasukkan berapa saja jumlah yang menjadi 'lebihan' dari gaji pada bulan itu dan bukannya ditetapkan jumlah sehingga membebankan.
"Menyimpan memang mengambil tempoh yang panjang tapi kebaikannya akan dirasai apabila jumlah duit semakin meningkat.
"Jika seseorang mula menyimpan sebaik dia bekerja pada usia 25 tahun, walaupun menyimpan sedikit setiap bulan tetapi apabila bersara pada usia 55 tahun, tentu saja simpanan sudah banyak.
"Simpanan seharusnya diasingkan dan bukannya dikeluarkan begitu saja apabila mahu untuk membeli itu dan ini, sebaliknya ia perlu digunakan sekiranya benar-benar perlu dan untuk perkara yang sangat penting saja seperti membeli rumah," katanya.
Tabiat menabung sebaiknya diamalkan dari kecil seterusnya memasuki alam pekerjaan dan golongan muda perlu membezakan antara kehendak dan keperluan.
Daripada membazir membeli barangan tidak diperlukan, wang itu sepatutnya disimpan dengan cara melabur dalam akaun amanah saham yang mampu memberikan keuntungan berlipat ganda berbanding jumlah yang disimpan.
"Namun apa kaedah sekalipun yang diambil, asalkan ada kesedaran untuk menabung, itu sudah baik. Harus diingat, simpanan bukan untuk usia muda tetapi untuk menampung hidup apabila sudah berumur kerana waktu itu kebanyakkan orang sudah tidak bekerja dan tiada pendapatan bulanan," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan