Pernahkah anda mengalaminya? Satu keadaan yang menakutkan apabila pendapatan yang kita peroleh tidak cukup untuk membayar perbelanjaan dari bulan ke bulan. Duit yang masuk tidak banyak, tetapi pelbagai bil pula tiba dan bertambah di rumah.
Tidak cukup dengan itu, pemiutang juga memberi tekanan meminta wang pinjaman. Walaupun anda sudah cuba berjimat, duit masih tidak cukup!
Bukan sahaja menakutkan, situasi sebegini juga membawa kepada stres yang berlanjutan. Sedihnya, ramai yang mengalami keadaan sedemikian. Tanpa menanganinya, ia boleh mengakibatkan muflis. Namun, muflis bukanlah satu jalan mudah untuk menyelesaikan segala masalah.
Saya akui, keadaan tidak cukup duit bukan segala-galanya berpunca daripada kesilapan seseorang itu. Adakalanya ia terjadi akibat kemalangan, sakit, kecacatan, penutupan tempat kerja, keadaan keluarga, ditipu dan pelbagai lagi sebab. Namun begitu, kita sendiri perlu memikul tanggungjawab dalam menangni keadaan yang penuh cabaran ini. Sememangnya sukar, tetapi terpaksa juga lakukan sesuatu dan tiada guna hanya membiarkan keadaan menjadi lebih teruk lagi.
Langkah pertama adalah mencari pendapatan lebih, mungkin mencari kerja tambahan secara separuh masa. Tanya kepada majikan anda sama ada terdapat kerja lebih yang boleh anda lakukan secara lebih masa. Terdapat banyak kerja sambilan yang ditawarkan.
Ketepikan ego dalam memilih kerja sambilan. Pepatah Inggeris, "beggers can't be choosers" bermaksud pengemis tidak boleh terlalu memilih.
Satu ketika dahulu, ketika saya masih belajar dan menghadapi masalah tidak cukup wang, saya bekerja sebagai tukang cuci untuk mendapat wang tambahan. Zaman Internet ini, terdapat juga pelbagai peluang pekerjaan untuk mendapat pendapatan tambahan yang boleh dilakukan dari rumah. Selain itu, memulakan perniagaan kecil-kecilan juga satu pilihan yang bijak.
Langkah seterusnya adalah menjual apa yang anda tidak perlu. Mungkin di rumah anda terdapat perabot atau barangan yang tidak digunakan dan hanya mengumpul habuk. Inilah masanya untuk menjual dan mendapat wang daripada barangan terbabit. Bukan sahaja membantu memperoleh pendapatan, tetapi ia juga membantu menambah ruang di rumah anda.
Sekiranya melakukan perkara dinyatakan itu masih tidak mencukupi, tiba masanya untuk ubah gaya hidup dalam mengurangkan perbelanjaan besar anda. Keputusan yang lebih besar perlu dilakukan seperti berpindah ke rumah yang lebih kecil dan murah mengikut kemampuan anda.
Sekiranya kos kereta agak tinggi, mungkin tiba masanya beralih kepada motosikal atau menggunakan pengangkutan awam buat sementara waktu. Seperti yang dikatakan, ketepikan ego dalam menangani masalah tidak cukup wang.
Terdapat juga badan yang membantu dari segi nasihat dan kaunseling kepada mereka yang mempunyai masalah sebegini. Ini termasuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang ditubuhkan oleh Bank Negara. Dapatkan bantuan dan sokongan kerana tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan.
<adaptasi daripada Irfankhairi>
are reeves
sharing is caring
Jumaat, 29 Mac 2013
Ahad, 7 Oktober 2012
Ke Mana Perginya Duit Aku!
Jawapannya, kita gagal mempunyai strategi kewangan yang berkesan. Bayangkan seperti sebuah sinki yang mempunyai pili dan lubang di dasarnya untuk mengalirkan air keluar. Apabila air mengalir dari pili terbabit dan lubang di dasar sinki tidak ditutup, maka pasti tiada air yang bertakung.
Seperti kewangan kita juga, tidak kira jumlah wang mengalir kepada kita sama ada melalui gaji atau pendapatan perniagaan, sekiranya terdapat kebocoran daripada segi perbelanjaan, pasti kering kontang juga simpanan kita di hujung bulan. Maka, kita akan gagal dalam kewangan!
Hanya terdapat dua cara iaitu menambahkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan. Kekayaan bukan membawa maksud sebanyak mana gaji atau pendapatan kita. Tetapi, kekayaan dikira sebagai sebanyak mana kita berjaya menyimpan. Gaji dan pendapatan tinggi, tetapi belanja tinggi dan hutang keliling pinggang, tidak kaya namanya. Itu tandanya gagal kewangan.
Untuk berjaya dalam kewangan, kita perlu terlabih dahulu menguasai wang yang keluar daripada poket kita. Cara untuk menguasai wang pula adalah dengan mengetahui ke mana perginya setiap sen wang terbabit, ya setiap sen!
Ia amat mudah apabila tiba hujung bulan, kita tidak sedar dan terlupa ke mana perginya wang kita. Apa yang saya dan ramai pakar kewangan nasihatkan adalah untuk menjejak setiap kali kita berbelanja. Tidak kira sama ada kita hendak mencatat setiap perbelanjaan dalam buku tiga lima (555) ataupun pada zaman serba canggih hari ini, pelbagai aplikasi telefon pintar membolehkan kita merakam setiap perbelanjaan harian. Aplikasi android atau iPhone percuma, Expense Manager adalah salah satu daripadanya.
Amalkan meminta resit atas setiap transaksi belian yang dilakukan walaupun transaksi yang kecil daripada bayaran tol sehinggalah kepada belian yang lebih besar. Setiap malam, kumpul semula semua resit yang dikutip pada hari terbabit dan rakamkan setiap transaksi wang yang keluar.
Dikatakan bahawa mereka yang berjaya dalam kewangan mengambil masa lebih sejam setiap minggu merujuk dan menjejak keadaan kewangan mereka. Dengan meluangkan sedikit masa setiap hari, walaupun 10 minit untuk menjejak setiap transaksi wang kita, ia adalah langkah pertama untuk berjaya dalam kewangan.
Kata Confucious, "Sekiranya aku dengar, aku lupa. Sekiranya aku lihat, aku ingat. Sekiranya aku buat, aku faham." Latihan untuk anda mulai hari ini dan minggu akan datang adalah mengamalkan tabiat menjejak dan merakam kewangan harian anda.
Apabila anda lakukan, anda akan faham mengenai kewangan anda dan menyediakan diri anda untuk lebih berjaya dalam kewangan.
<...adaptasi daripada irfankhairi...>
<...adaptasi daripada irfankhairi...>
Rabu, 18 Julai 2012
Menabung Sebelum 'Terlalu Lewat'
Ketika berusia 33 tahun, anda merasakan dunia ini milik anda. Atau mungkin tidak. Anda berasa seolah-olah berada di persada kehidupan. Apa tidaknya? Anda kini pada usia di mana anda bebas memilih bagaimana untuk membelanjakan duit, membeli segala yang diingini dan menelusuri apa jua gaya hidup yang terlintas di fikiran. Anda telah pun memiliki kereta idaman, rumah impian dan baru saja mendirikan singgahsana dengan gadis tercinta. Anda juga baru saja kembali daripada berbulan madu di Bali. Bila terasa ingin berhibur dan bersantai bersama teman-teman, anda boleh saja ke kafe paling trendy dan makan malam di restoran mewah. Merancang untuk melancong ke luar negara adalah satu kebiasaan kerana apalah erti hidup kalau tidak dinikmati. Anda berasa sungguh bahagia di saat ini, tiada apa yang merisaukan hati. Anda masih lagi muda dan banyak detik kebahagiaan yang menanti. Anda sewajarnya berhak untuk menikmati segala pendapatan yang diperolehi. Jadi anda beranggapan 'belanja dulu, simpan kemudian'. Tapi anda tak tahu 'kemudian' itu mungkin menjadi terlalu lewat satu hari nanti.
Muda dan Bijaksana
Inilah situasi yang menjadi lumrah hidup. Ketika sibuk memenuhi
segala komitmen, menyimpan untuk persaraan adalah perkara paling bawah
sekali. Bukan anda seorang saja yang menghadapi situasi begini. Dalam
kajian terkini, lebih daripada separuh pekerja di Malaysia tidak
bersedia untuk bersara sementara mereka yang bersedia, hanya mula
merancang selepas usia 40 tahun.
Dalam kita menyusuri liku-liku kehidupan ini, ada baiknya kita
jadikan sabda junjungan sebagai pedoman, Rasulullah SAW pernah bersabda:
"Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama, masa
sihat sebelum sakit. Kedua, masa kaya sebelum datangnya masa sempit
(miskin). Ketiga, masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat, masa
muda sebelum datang masa tua, dan kelima, masa hidup sebelum tiba masa
mati." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Justeru, lebih baik lewat daripada tak ada langsung. Memulakannya
seawal mungkin memberikan perbezaan yang ketara terhadap dana persaraan
anda. Berikut ialah kisah rekaan bagaimana dua orang sahabat yang baru
tamat belajar, membuat keputusan kewangan yang berbeza, menjalani
kehidupan mereka.
Kelebihan anda: Potensi pulangan pelaburan yang lumayan
Mat dan Ibrahim tamat universiti ketika berusia 22 tahun.
Kedua-duanya memulakan kerjaya mereka dan memperolehi pendapatan RM
40,000 setahun. Mat amat memahami betapa pentingnya untuk menyimpan
sejak muda dan melabur RM250 sebulan untuk pelan persaraan yang
berpotensi meraih kadar pulangan 5 peratus purata setahun sebaik sahaja
mula bekerja. Sebelas tahun berlalu, Mat menamatkan sumbangan
persaraannya kerana beliau telah membina jumlah terkumpul sebanyak
RM78,501.89. Simpanan ini mencukupi untuk berpotensi berkembang sekitar
atau sekurang-kurangnya RM400,000 ketika bersara. Tambahan RM250 kini
boleh disalurkan untuk membantunya mencapai perancangan yang lain
seperti membeli rumah, menambah simpanan lain atau untuk dana pendidikan
anak-anaknya.
Sebaliknya, Ibrahim yang tidak begitu peka dengan keperluan telah
menangguhkan simpanan persaraan sehingga 10 tahun kemudian. Beliau juga
sebenarnya boleh menyimpan RM250 sebulan, tapi kini terpaksa meneruskan
simpanan sehinggalah bersara untuk mencapai matlamatnya.
Apakah perbezaan dalam jumlah persaraan mereka? Mat yang menyumbang
RM33,000 dan berpotensi memiliki sejumlah RM 387,532.06 pada usia 65
tahun. Ibrahim pula yang menyumbang RM66,000 atau lebih, berpotensi
untuk memiliki jumlah yang lebih rendah iaitu RM251,349.65. Senario ini
membuktikan kenapa anda perlu mula menyimpan seawal mungkin untuk
persaraan. Memang benarlah kata-kata pujangga lama, "sikit-skit,
lama-lama jadi bukit". Lebih panjang jarak masa yang kita miliki, lebih
sedikit sumbangan kita untuk mencapai amaun terkumpul (dengan andaian
kadar pulangan adalah sama keseluruhannya).
Prinsipnya tetap sama. Bayar untuk diri anda terlebih dahulu. Hanya
dengan satu langkah menyimpan sebahagian kecil daripada pendapatan untuk
persaraan boleh memberikan perbezaan yang ketara. Dengan perancangan
yang baik seawal mungkin, anda pasti dapat menghadapi persaraan dengan
penuh keyakinan dan kenikmatan.
Isnin, 16 Julai 2012
Terima Kasih Saya Tidak Mahu
Kempen Tak Nak sudah lama berlalu. Walaupun kempen yang dilancarkan pada 2004 itu bertujuan menangani isu merokok, jika diperhalusi, ia juga boleh dijadikan kempen peribadi untuk memperkukuh hati terutama dalam perkara yang berkaitan dengan aktiviti membeli-belah.
Memang tidak dapat dinafikan wanita lebih bijak menabung berbanding lelaki tetapi ramai juga wanita yang mudah terjebak dengan iklan tawaran jualan murah yang paling cepat memikat perhatian mereka.
Sikap ini ada baiknya kerana sebagai menteri kewangan rumah tangga, wanita memang perlu peka dengan perubahan harga barang supaya mereka boleh berjimat apabila membeli barangan keperluan keluarga termasuk barangan dapur.
Malangnya apabila keluar berbelanja, ramai yang sering terbabas membeli barang yang tidak atau kurang perlu, apatah lagi jika harganya dirasakan sangat munasabah. Adakalanya ketika berjalan-jalan di kompleks beli-belah dengan kawan-kawan pun kita boleh terjebak membeli kerana terpengaruh dengan iklan atau tawaran murah.
Perkara ini bukan dihadapi wanita sahaja kerana ramai lelaki turut berhadapan masalah yang sama. Pun begitu, ada orang cukup teguh hatinya, tidak tergoda dengan pelbagai iklan yang mengumpan atau pujukan kawan-kawan.
Sebenarnya bukan mudah untuk berkata 'tak nak' atau 'tidak' kepada diri sendiri, apatah lagi jika harga yang ditawarkan amat menarik dan berpatutan. Namun ada beberapa cara yang kita boleh amalkan untuk melatih diri menahan keinginan berbelanja.
- Katakan 'tidak mahu, terima kasih' kepada jurujual yang menayangkan pelbagai barangan dengan harga diskaun. Jangan risau, mereka sudah biasa berdepan dengan penolakan, jadi anda tidak perlu bimbang jurujual ini berasa sedih. Cuma satu perkara yang perlu diingat, tolak pujukan mereka dengan baik dan sopan.
- Buat keputusan sebelum anda pergi ke pusat beli-belah. Caranya dengan membuat senarai barang yang anda perlu saja. Senarai ini boleh menjadi peringatan kepada anda bahawa anda tidak boleh berbelanja ikut hati.
- Sabarkan hati dengan menunggu beberapa hari sebelum anda mahu membeli satu-satu barang terutama yang agak mahal harganya. Dalam tempoh ini anda boleh berfikir sama ada masih membeli barang berkenaan atau tidak. Biasanya desakan dan keinginan ini akan surut dalam masa beberapa hari. Namun jika desakan hati tetap tidak surut selepas empat atau lima hari, maka bolehlah membeli barang yang menghantui fikiran itu.
- Bawa wang tunai secukupnya. Ia dapat mengelakkan anda terlebih berbelanja. Bagi mereka yang masih ghairah menggunakan kad kredit, ada satu perkara yang perlu anda ketahui iaitu kad plastik ini boleh memperdaya fikiran kita yang membuatkan kita berasa tidak berbelanja, kata perancang kewangan bertauliah dan penulis siri artikel On The Road, Sheryl Garrett. Kita tidak akan berasa kesan berbelanja besar selama beberapa minggu sehinggalah kita menerima penyata daripada syarikat kewangan. Kata Garrett lagi, berdasarkan kajian Dun & Bradstreet, mereka yang berbelanja dengan wang tunai boleh berjimat antara 12% hingga 18% bagi sekali perbelanjaan berbanding pengguna kad kredit.
- Jangan jadikan membeli-belah atau berkunjung ke pusat beli-belah sebagai aktiviti sosial yang menyeronokkan. Ada kajian mendapati pengunjung pusat beli-belah bersama kawan-kawan mempunyai kebarangkalian 7% lebih tinggi untuk berbelanja berbanding mereka yang pergi sendirian. Justeru, jika anda tetap mahukan teman, bawalah kawan yang bukan 'kaki berbelanja'.
- Kenali perkara yang boleh mencetuskan keinginan anda untuk berbelanja. Jika anda jenis orang yang mesti beli sesuatu apabila berkunjung ke pusat beli-belah, tetapkan supaya pembelian itu tidak melebihi jumlah tertentu contohnya RM30. Pun begitu jangan buat 'pengharaman mendadak' (daripada membeli barang) kerana hati anda akan lebih mendesak untuk berbelanja.
- Tolak tawaran yang mengatakan 'tidak perlu bayar sehingga...'. Jika tawaran itu kelihatan terlalu baik untuk dilepaskan (kerana anda tidak perlu bayar selama beberapa bulan), ia bermakna anda sebenarnya tidak mampu memiliki barang berkenaan. Jangan layan keinginan yang akhirnya boleh menjerat diri sendiri kerana ada sesetengah syarikat akan mengambil balik barangan yang tertunggak bayarannya.
- Usah biarkan orang lain menentukan standard hidup anda. Anda tidak perlu mengikut kata-kata orang kerana hanya anda saja yang tahu kemampuan kewangan anda sendiri. Kita berbelanja ikut kemampuan, bukan kemahuan.
- Hapuskan mentaliti 'anda perlu memiliki semua'. Sebenarnya dalam hidup ini, keperluan kita sangat sederhana. Kita masih boleh hidup dengan baik jika bersederhana dalam semua perkara.
- Usah terpedaya dengan janji manis skim cepat kaya (dengan impian mahu menggunakan wang itu untuk berbelanja sakan). Anda perlu sedar di seluruh dunia sudah ramai yang menjadi mangsa. Ketahuilah bahawa tiada jalan mudah untuk kaya. Jadi buat apa kita membazirkan sedikit wang yang kita ada untuk kesenangan orang lain?
Khamis, 5 Julai 2012
Usia 58 Duit KWSP Dah Lesap
Rata-rata pesara cepat rambang mata melihat wang banyak hasil caruman dalam KWSP hingga membazir untuk tujuan tidak berfaedah.
Pakar perunding kewangan bebas Charisma Agency, Fiona Tahir berkata,
sikap segelintir pesara itu menyebabkan wang berkenaan tidak boleh
bertahan hingga lapan tahun atau lebih memandangkan tercetus di hati
masing-masing perasaan ingin ‘kaya’ dan ‘merasa’ duit itu.
"Sebahagian besar pesara menghabiskan wang KWSP dalam tempoh singkat selepas dikeluarkan. Pada usia 58 tahun kebanyakannya sudah habis sumber kewangan masing-masing.
“Ada yang menggunakan wang itu untuk membesarkan rumah, melangsaikan hutang kereta atau mengahwinkan anak hingga mencari kerja semula sedangkan tenaga dan kesihatan tidak mengizinkan untuk berbuat begitu.
“Ramai di kalangan kita terlupa memikirkan secara serius perbelanjaan hari tua yang merangkumi wang kecemasan terutama bil hospital atau klinik yang semakin besar perbelanjaannya. Bahkan ada yang menganggap wang KWSP sudah cukup menjamin segala-galanya. Mereka harus membuat pengiraan matang mengenai wang yang bakal diterima pada usia 55 tahun,” katanya.
Dia yang juga kolumnis dalam pelbagai ruangan akhbar dan majalah serta sering diundang memberi penerangan mengenai kewangan di stesen televisyen tanah air mempersoalkan bagaimana pesara mahu meneruskan kehidupan jika wang pencen habis ditambah pula tiada sumber pendapatan lain.
Berikutan itu, katanya, mereka perlu bijak menabung supaya tidak timbul sebarang masalah kerana persaraan seharusnya dinikmati dengan penuh keselesaan bukan kesengsaraan.
Menurutnya, mereka yang berjaya di kemudian hari bukan diukur berapa banyak gaji diterimanya namun berdasarkan berapa banyak simpanannya.
Contoh:
Julia berusia 21 tahun, dengan anggaran gaji awal sebanyak RM1,500 serta anggaran purata pulangan dividen KWSP 6%. Turut diandaikan juga kenaikkan gaji 5% setiap tahun hingga tempoh 34 tahun bekerja. (Rujuk carta pengiraan anggaran KWSP)
Pada usia 55 tahun anda mungkin ada RM876,661 dan KWSP mencecah RM1 juta berdasrkan kenaikan gaji tetap. Adakah majikan anda bermurah hati begitu? Lebih penting, mesti mengambil kira faktor inflasi. Nilai RM876,661 hari ini tidak sama nilainya dengan 34 tahun akan datang.
Plan Persaraan Berhemah
Melalui persaraan bermakna anda bebas daripada alam pekerjaan. Tentunya ramai yang mula memasang angan bahawa menikmati hidup bersara saat yang lama dinanti sesudah menabur khidmat di alam pekerjaan lebih 30 tahun. Sebagai pesara, anda mungkin memikul beban jika masih ada anak-anak bersekolah atau ada kalangan anak yang hendak berkahwin atau isteri sakit. Untuk itu, petua berikut mungkin boleh dijadikan panduan buat anda untuk memasuki fasa persaraan yang selesa.
Mulakan Pelan Saraan
Jika tempoh persaraan anda 10 hingga 15 tahun lagi, mula menabung dari sekarang supaya dapat menghadapi persaraan dengan selesa. Apatah lagi jika anda pula seorang ibu tunggal atau bapa tunggal dan mempunyai komitmen yang banyak untuk keluarga, beban itu perlu dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab. Jika anda wanita, jangka hayat wanita dikatakan mungkin lebih lama berbanding lelaki. Untuk itu, anda perlu mempunyai tabungan mencukupi untuk menyara diri dan keluarga. Selain itu, anda perlu mempunyai insurans mencukupi terutama kos perubatan atau hospital. Sewajarnya, golongan muda perlu merancang untuk menyediakan dana atau simpanan terutama sebaik saja memasuki alam pekerjaan dengan membina, mengurus dan melindungi kekayaan.Bajet
Sesiapa sahaja perlu merancang bagi memastikan segala-galanya berjalan lancar. Antara perkara yang perlu difikirkan adalah merancang bajet dengan sebaiknya misalnya apa yang patut didahulukan. Sikap suka menabung amat penting misalnya, sepanjang bekerja dulu anda seharusnya menabung 10% hingga 20% daripada pendapatan bulanan (selain potongan KWSP) kerana ia membantu di saat bersara. Jika anda masih ada hutang dengan bank dahulukan komitmen kereta atau rumah, pastikan anda sudah mengasingkan wang untuk membayar semua itu. Bahkan, jika anak-anak belum melangsaikan yuran atau keperluan pembelajaran, perbelanjaan untuk keperluan itu mesti diutamakan. Guna kemudahan perubatan yang disediakan kerajaan seperti hospital besar dan klinik kesihatan dan elak menggunakan hospital swasta kerana kosnya mahal.Disiplin
Pesara disaran mengurus wang KWSP dengan baik dan berdisiplin. Elak membelanjakan untuk kenduri kahwin anak-anak, sebaliknya anda digalakkan membuat wasiat. Sekiranya kurang pengetahuan untuk mengurus kewangan, anda dinasihatkan tidak mengeluarkan semua wang sebaiknya mengambil secara ansuran mengikut pelan yang ditentukan KWSP.Gaya Hidup Sihat
Pesara perlu mengamalkan gaya hidup sihat demi menjaga diri dengan mengamalkan bersenam dan jaga pemakanan untuk mengelak masalah kesihatan yang mungkin menelan kos perubatan tinggi.Kad Kredit
Cara terbaik disiplinkan diri adalah dengan menggunakan kad debit, tetapi jika perlu menggunakan kad kredit bayar dengan penuh untuk mengelakkan caj kewangan yang tinggi. Ini kerana ada kalangan pelanggan menggunakan kad kredit sewenang-wenangnya dan tidak mengurus dengan baik terutama dalam soal pembayaran.Isnin, 2 Julai 2012
Elak Miskin Sebelum Waktu
Memiliki ilmu kewangan sangat membantu seseorang kala diri dirunding masalah. Ramai antara kita dilatih untuk mencari wang tetapi tidak ramai yang dididik menguruskan wang setelah memilikinya.
Kesannya, ada yang menghadapi kemiskinan di usia muda kerana tidak mengetahui cara mengurus kewangan mereka.
Menurut Pengasas Hijrah Wealth Management Sdn Bhd, Rohani Mohd Shahir, ramai masyarakat Malaysia yang ditemui ketika menganjurkan seminar, menghadapi situasi kecemasan atau dipanggil ICU berdasarkan kiraan kemewahan mereka.
"Ramai yang antara kita yang menghadapi kemiskinan. Bayangkan mereka hanya menyimpan RM100 sebulan namun jumlah perbelanjaan sehingga RM2,000 setiap bulan.
"Ia menunjukkan jumlah simpanan yang disimpan setiap bulan hanya mampu dibelanjakan untuk tiga hari apabila kita membuat pengiraan kemewahan," katanya.
Jelasnya, merancang pengurusan wang keluar dan wang masuk boleh membantu mengelakkan 'miskin' sebelum waktunya terutama di kalangan generasi muda hari ini.
"Perkara sebegini dapat diatasi jika kita mempunyai perancangan wang kaluar dan wang masuk setiap bulan bagi melihat apa yang perlu dan tidak untuk mengelakkan perbelanjaan keterlaluan.
"Sepanjang hidup yang dilalui, kita sepatutnya memiliki peta kewangan untuk diri sendiri bagi mengetahui ke mana wang kita keluar dan masuk.
"Misalnya, pendidikan, perkahwinan, simpanan, ehsan ibu bapa, percutian, kenderaan, kecemasan dan sedekah bagi memastikan kedudukan kewangan sentiasa berada dalam perancangan.
"Ramai tersilap, apabila duit diterima saja ia terus dibelanjakan berbanding menyimpannya terlebih dahulu selepas menerima gaji.
"Sebaliknya, duit yang diterima harus disimpan terlebih dahulu kemudian baru digunakan untuk membayar segala hutang dan belanja lain bagi mengelakkan pengeluarannya secara berlebihan.
"Kawal perancangan kewangan anda supaya hutang tidak melebihi 50% daripada gaji," jelasnya.
Rohani menambah, setiap orang perlu memiliki perlindungan diri sebagai persediaan menghadapi sebarang musibah.
Langkah selanjutnya adalah memastikan kita memiliki polisi perlindungan diri bagi menunjukkan yang kita mempunyai nilai apabila berlaku sebarang musibah seperti kematian, ditinggalkan pasangan atau kemalangan yang mengakibatkan kecacatan kekal.
"Ini kerana didapati banyak kes membabitkan kematian suami yang tidak memiliki perlindungan diri. Dia meninggalkan si isteri yang tidak bekerja sekali gus memberi kesusahan kepada seisi keluarga.
"Biarpun begitu, jangan menganggap perlindungan diri untuk kematian sahaja malah ia memberi kebaikan apabila berlaku perpisahan antara suami dan isteri.
"Sepatutnya kita perlu memiliki perlindungan sejak mula bekerja atau sejak awal lagi kerana ia lebih murah berbanding apabila usia sudah meningkat.
"Cukuplah sekadar memiliki dua jenis polisi perlindungan dan jangan mudah terpedaya dengan pujuk rayu ejen selain memahami keperluan dalam perlindungan.
"Lihat sama ada perlindungan yang diberikan itu cukup untuk menyara perbelanjaan bulanan keluarga daripada nilai polisi yang dimiliki ataupun tidak.
"Apa yang penting anda memiliki polisi perlindungan diri dan kad hospital bagi memberi persediaan kepada ahli keluarga apabila berlaku kejadian yang tidak disangka," jelasnya.
Selepas itu, barulah berfikir untuk membuat pelaburan atau simpanan bagi membantu kehidupan di kemudian hari.
Sediakan senarai perbelanjaan setiap hari selama sebulan bagi mengurangkan kos dan mengamalkan penjimatan dalam kehidupan.
"Jika anda tegas dan mengikut perancangan perbelanjaan disarankan dengan mengumpul resit pengeluaran wang setiap hari, ia pasti dapat menjimatkan lagi kos hidup.
"Lakukan selama tiga bulan dan anda akan dapat lihat hasilnya apabila berjaya menjimatkan perbelanjaan sehingga RM50 sebulan," katanya.
5 Aspek Utama Perancangan Kewangan Islam:-
1.Perancangan Perlindungan
Dalam kehidupan yang dilalui, pasti akan ditimpa pelbagai musibah. Kadangkala kita akan diuji dengan pelbagai perkara seperti kemalangan, hilang upaya kekal, usia tua, kematian dan penyakit kritikal. Fikirkan apa akan terjadi pada keluarga atau anak seandainya kita tidak meninggalkan sebarang persediaan untuk menghadapi kehilangan diri yang banyak membantu mereka daripada segi perbelanjaan. Sediakan payung sebelum hujan adalah perkara terbaik sebelum terlambat dengan membuat perlindungan diri. Sebelum memilih polisi perlindungan, nilaikan terlebih dahulu diri sendiri. Kemudian, barulah kita lihat polisi yang dijanjikan dan cukup sekadar dua jenis takaful seperti perlindungan diri dan kad hospital.
2.Perancangan Pelaburan atau Persaraan
Berapakah angka persaraan anda dan jumlah tabungan yang perlu disediakan sekiranya kita hidup 20 tahun selepas umur bersara? Contohnya, dengan andaian saraan sebanyak RM3,000 maka jumlah perbelanjaan akan mencecah RM720,000. Adakah kita mempunyai tabungan sebanyak itu apabila bersara nanti? Berapakah nisbah kemewahan sekarang? Inilah gunanya nisbah kemewahan untuk mengukur sejauh mana nilai yang kita miliki. Penggunaan formula nisbah kewangan boleh dikira menggunakan cara berikut:-
Contoh:
Tambahkan semua jumlah baki wang tunai, simpanan atau pelaburan dimiliki = RM14,000
Jumlah semua perbelanjaan bulanan sama ada hutang atau belanja dapur = RM2,400
Cara:
RM14,000 dibahagi RM2,400 = RM5.833
Hasil yang diperoleh menunjukkan individu itu hanya cukup 'mewah' untuk sara keperluan hidup selama 5.833 bulan saja.
3.Perancangan Harta dan Warisan
Kematian adalah sesuatu yang pasti. Kebanyakkan orang menyangka hartanya akan diagih secara terus kepada orang tersayang apabila mereka sudah tiada lagi. Malangnya, ia tidak sama seperti sangkaan kita sebaliknya proses pentadbiran harta pusaka perlu mengikut langkah seperti menyelesaikan perbelanjaan pengebumian, hutang (dunia dan akhirat), melaksanakan wasiat, tuntutan harta sepencarian serta membahagikan harta yang tinggal mengikut sistem faraid. Sebaiknya, rancang harta dan waris lebih awal bagi mengelakkan kesukaran yang melanda pewaris apabila anda tiada lagi di dunia.
4.Perancangan Zakat
Harta adalah milik mutlak Allah dan bukan individu. Ia adalah amanah daripada Allah dan sebagai hambanya kita bertanggungjawab ke atasnya. Allah mewajibkan kita membayar zakat dengan jumlah 2.5% harta dimiliki kepada mereka yang berhak menerimanya.
5.Perancangan Sedekah
Apabila kita meninggal dunia, maka terputus segala-galanya kecuali tiga perkara iaitu doa anak soleh, amal jariah dan ilmu yang boleh dimanfaatkan orang lain. Jadi, sudahkah kita membuat perancangan dan menyediakan bekalan untuk kehidupan di akhirat nanti yang kekal abadi? Fikirkan.
Panduan pengagihan gaji mengikut peratusan yang ditetapkan setiap bulan.
Contohnya mengambil 34% daripada gaji.
20% daripda gaji:
-membayar polisi takaful atau perlindungan diri sebanyak 10%
-pelaburan 5%
-simpanan 5%
14% daripada gaji:
-pembayaran zakat 2.5%
-kebajikan ibu bapa 10%
-lain-lain 1.5% (termasuk sedekah dan wakaf)
Selasa, 5 Jun 2012
WANG : Didikan Nilai Untuk Si Kecil
Sering terjadi senario ketika di pusat beli belah, seorang ibu terpaksa membawa anaknya keluar dari kedai permainan semata-mata tidak mahu membelikan kereta kawalan jauh berharga RM300.
Mungkin bagi si ibu, daripada dia membelikan permainan mahal, lebih baik wang itu digunakan untuk keperluan anak seperti susu, pakaian serta perubatannya. Namun adakah si kecil yang baru mencecah usia empat tahun itu memahaminya?
Ramai pakar psikologi berpendapat, kanak-kanak akan melalui satu peringkat yang menyebabkan mereka ingin memiliki pelbagai jenis benda terutama permainan yang sering dilihat di kaca televisyen atau di rumah rakan. Mereka mahukan pelbagai perkara yang dilihat dan berada di sekeliling mereka namun langsung tidak tahu untuk memiliki sesuatu barang itu, ibu bapa perlu bekerja keras mendapatkannya. Apabila anak-anak sudah sampai ke peringkat ini, tiba masanya ibu bapa mendedahkan mereka mengenai nilai wang dan tidak semua yang dihajati akan menjadi milik mereka.
Menurut jutawan Internet dan perunding kewangan, Irfan Khairi, mendidik anak-anak mengenai wang sama pentingnya mengajar mereka mengenai perkara asas seperti memberus gigi, menghormati orang tua dan mencuci tangan sebelum makan.
Ini kerana, sangat penting ibu bapa mendidik anak menilai wang ketika mereka masih kecil, seawal mereka tahu mengira dan menggunakan wang sesuai dengan pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Terdapat pelbagai cara boleh dilakukan ibu bapa bagi memastikan anak-anak tahu menghargai wang. Antaranya:
Ajar nilai harga barang
Pada usia tiga hingga lima tahun, anak-anak biasanya mengetahui mengenai wang menerusi pemerhatian dan perlakuan ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa boleh membawa anak bersama-sama ketika membeli belah dan menerangkan mengenai wang dengan menunjukkan harga barang.
Katakan pada anak, beza barang untuk RM50 dengan RM10 dan sebab ibu bapa tidak boleh membelikan barang yang berharga melebihi RM50 kerana nilainya sangat banyak. Mungkin pada mulanya mereka kurang faham namun lama-kelamaan apabila terbiasa mereka akan memahami mengenai nilai duit dan akan mencari barang yang nilainya mengikut kemampuan ibu bapa.
Latih anak membayar makanan atau ketika di pusat beli-belah
Selepas makan atau membeli barang, berikan wang kepada anak dan minta dia membayar di kaunter dengan ditemani ibu bapa. Dengan cara ini, anak akan tahu untuk mendapatkan barangan harus menggunakan wang.
Cara ini juga membolehkan mereka terus menghargai duit dan menilai proses pertukaran wang menerusi pemberian baki yang diberikan ke tangan mereka sendiri. Selepas itu terangkan kepada anak situasi yang berlaku - tempat makan dan jenis makanan menentukan jumlah perbelanjaan yang akan dikeluarkan. Perkara ini mungkin akan nampak seperti berilmiah, namun gunakan gaya bahasa mudah supaya si kecil yang belum bersekolah akan lebih memahami.
Perkenalkan sistem elaun
Bagi anak yang akan memasuki sekolah rendah, berikan elaun setiap hari atau secara mingguan supaya mereka berpeluang menggunakan wang dengan bijak dan menyimpan baki yang ada di tangan mereka.
Selain itu, perjelaskan juga perbezaan elaun yang diberikan kepada mereka berdasarkan usia dan keperluan perbelanjaan. Biarpun elaun tidak sama mengikut kemampuan ibu bapa namun apa yang penting, pemberian elaun itu boleh mendidik mereka menggunakan sumber kewangan secara bijak serta berwaspada ketika membeli supaya dapat berjimat cermat.
Babitkan anak dalam merancang percutian
Sebelum memilih destinasi pelancongan, pastikan anak-anak turut terbabit dalam pemilihan lokasi serta aktiviti yang akan diadakan. Katakan kepada mereka sekiranya tempat itu jauh bermakna perbelanjaan untuk bahagian lain akan berkurang.
Begitu juga sekiranya destinasi memerlukan anda dan keluarga bermalam, sudah tentu ia memerlukan belanja yang banyak untuk penginapan dan makanan. Berbeza dengan pilihan misalnya ke pusat beli-belah atau ke taman permainan yang tidak memerlukan perbelanjaan banyak dan boleh digunakan untuk makan di restoran atau membeli barangan kesukaan mereka.
Beri peluang mereka membuat keputusan kerana daripada itu, mereka akan belajar mengenai perbelanjaan yang akan ditanggung ibu bapa serta jumlah duit yang akan dikeluarkan. Katakan juga kepada anak setiap pilihan ada kelebihan dan kekurangannya.
Pastikan anak terbabit ketika membuat bajet keluarga
Pembabitan ahli keluarga adalah sangat penting ketika membuat bajet keluarga. Misalnya sekiranya ingin ke pusat beli-belah ibu bapa akan membuat senarai barang yang akan dibeli dan pada masa sama katakan kepada anak yang mereka hanya boleh membeli barangan bernilai RM50. Tidak lebih daripada itu.
Ini bagi memastikan anak lebih tahu mengenai nilai wang dan bertanya harga sesuatu barang. Mereka juga tidak akan meminta dibelikan barangan di luar kemampuan ibu bapa kerana sejak awal penjaga sudah menetapkan bajet yang harus diikuti. Katakan juga ibu bapa sendiri mengikut bajet yang sudah ditulis dan hanya membeli barang mengikut nilai ditetapkan.
Elak mengajar anak mengenai barangan berjenama
Ada sesetengah ibu bapa kasihan dengan anak dan berupaya memenuhi permintaan mereka dengan membelikan barangan mahal atau berjenama. Sebenarnya sejak kecil anak langsung tidak tahu apa itu jenama dan harga barang sekiranya ibu bapa tidak mengajarnya.
Jadi sekiranya tidak mahu anak membesar menjadi remaja yang meminta-minta dibelikan barangan mahal dan mewah, sebaiknya sejak kecil latih untuk menghargai wang dan betapa susah untuk mendapatkannya.
Galakkan menabung
Mengajar anak menabung untuk mendapatkan sesuatu barang adalah cara terbaik mendidik mereka menghargai wang. Misalnya, untuk mendapatkan hadiah hari jadi bernilai RM50 atau RM100, ibu bapa boleh menetapkan tabungan setiap hari kemudian apabila sudah cukup nilai, wang itu digunakan untuk membeli hadiah diinginkan. Cara ini membantu mereka untuk lebih memahami kaedah mendapatkan sesuatu barang dengan berusaha dan bukan meminta daripada ibu bapa semata-mata.
Bekerja sendiri
Bagi anak yang sudah bersekolah dan menunggu keputusan peperiksaan, bantu anak menjadi lebih berdikari dengan menggalakkan mereka menambahkan simpanan terutama pada cuti persekolahan. Ajar mereka cara mengendalikan rekod kewangan yang boleh memantau pendapatan dan perbelanjaan.
Ibu bapa contoh terbaik
Ibu bapa harus menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Misalnya sebelum keluar membeli-belah, penting menyenaraikan barangan yang ingin dibeli. Ini menjadikan anak tahu adanya had dalam perbelanjaan. Tonjolkan teladan yang baik seperti tunduk untuk mengutip wang yang jatuh atau mengira balik wang baki yang diterima selepas membayar dan tidak terus memasukkan ke dalam dompet. Biarpun tindakan sebegini agak kecil, ia memberi impak yang besar kepada anak untuk menilai harga wang.
Ibu bapa juga boleh meluangkan masa lapang secara berkualiti dengan bermain permainan seperti Saidina atau Monopoly kerana permainan ini boleh melatih anak memahami konsep melabur.
Akhir sekali sentiasa berbincang dengan anak mengenai aspek praktikal pengurusan kewangan seperti menabung dan membuat pembelian bijak. Ini kerana pengurusan wang yang bermanfaat boleh membantu anak menetapkan matlamat dalam hidup mereka.
Langgan:
Ulasan (Atom)



