Jawapannya, kita gagal mempunyai strategi kewangan yang berkesan. Bayangkan seperti sebuah sinki yang mempunyai pili dan lubang di dasarnya untuk mengalirkan air keluar. Apabila air mengalir dari pili terbabit dan lubang di dasar sinki tidak ditutup, maka pasti tiada air yang bertakung.
Seperti kewangan kita juga, tidak kira jumlah wang mengalir kepada kita sama ada melalui gaji atau pendapatan perniagaan, sekiranya terdapat kebocoran daripada segi perbelanjaan, pasti kering kontang juga simpanan kita di hujung bulan. Maka, kita akan gagal dalam kewangan!
Hanya terdapat dua cara iaitu menambahkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan. Kekayaan bukan membawa maksud sebanyak mana gaji atau pendapatan kita. Tetapi, kekayaan dikira sebagai sebanyak mana kita berjaya menyimpan. Gaji dan pendapatan tinggi, tetapi belanja tinggi dan hutang keliling pinggang, tidak kaya namanya. Itu tandanya gagal kewangan.
Untuk berjaya dalam kewangan, kita perlu terlabih dahulu menguasai wang yang keluar daripada poket kita. Cara untuk menguasai wang pula adalah dengan mengetahui ke mana perginya setiap sen wang terbabit, ya setiap sen!
Ia amat mudah apabila tiba hujung bulan, kita tidak sedar dan terlupa ke mana perginya wang kita. Apa yang saya dan ramai pakar kewangan nasihatkan adalah untuk menjejak setiap kali kita berbelanja. Tidak kira sama ada kita hendak mencatat setiap perbelanjaan dalam buku tiga lima (555) ataupun pada zaman serba canggih hari ini, pelbagai aplikasi telefon pintar membolehkan kita merakam setiap perbelanjaan harian. Aplikasi android atau iPhone percuma, Expense Manager adalah salah satu daripadanya.
Amalkan meminta resit atas setiap transaksi belian yang dilakukan walaupun transaksi yang kecil daripada bayaran tol sehinggalah kepada belian yang lebih besar. Setiap malam, kumpul semula semua resit yang dikutip pada hari terbabit dan rakamkan setiap transaksi wang yang keluar.
Dikatakan bahawa mereka yang berjaya dalam kewangan mengambil masa lebih sejam setiap minggu merujuk dan menjejak keadaan kewangan mereka. Dengan meluangkan sedikit masa setiap hari, walaupun 10 minit untuk menjejak setiap transaksi wang kita, ia adalah langkah pertama untuk berjaya dalam kewangan.
Kata Confucious, "Sekiranya aku dengar, aku lupa. Sekiranya aku lihat, aku ingat. Sekiranya aku buat, aku faham." Latihan untuk anda mulai hari ini dan minggu akan datang adalah mengamalkan tabiat menjejak dan merakam kewangan harian anda.
Apabila anda lakukan, anda akan faham mengenai kewangan anda dan menyediakan diri anda untuk lebih berjaya dalam kewangan.
<...adaptasi daripada irfankhairi...>
<...adaptasi daripada irfankhairi...>

Tiada ulasan:
Catat Ulasan