Halaman

Nuffnang Ads

Selasa, 14 Februari 2012

Belajar Menabung

Tip pejamkan mata, simpan duit
 
DALAM soal duit, istilah cukup bagai tidak pernah wujud dalam kamus hidup. Biarpun pendapatan mencecah lima angka, bukanlah menghairankan jika mendengar seseorang mengeluh wang tidak cukup. Kata orang, semakin besar periuk, semakin besarlah keraknya. Tidak keterlaluan jika dikatakan tabiat suka berbelanja dimiliki ramai orang. Memang sukar mengikis atau mengawal tabiat buruk ini kecuali dengan satu-satunya alternatif iaitu belajar menabung. Menabung bukan saja cara mengawal nafsu membeli-belah, tetapi suatu kemestian yang perlu dilaksanakan. Namun, perubahan taraf hidup dan perkembangan cita rasa masyarakat, menabung bukan lagi menjadi amalan. Tidak dinafikan, amalan menabung bukanlah mudah dilakukan. Ia memerlukan kecekalan hati dan motivasi tinggi selain ilmu betul mengenai kaedah menabung serta kepentingan amalan ini bagi setiap individu. Seseorang perlu menabung supaya mereka dapat mencapai kebebasan kewangan. Kebebasan kewangan adalah alasan utama menabung atau menyimpan kerana selain barangan dan perkhidmatan, wang juga diperlukan untuk melakukan apa yang dihajati pada bila-bila masa. Selain itu, menabung juga penting sebagai persediaan menghadapi situasi tidak terduga. Laporan berhubung kesedaran menabung di kalangan rakyat Malaysia yang didapati masih rendah baru-baru ini secara tidak langsung membuktikan yang ramai orang terutama anak muda tidak mengerti kepentingan menabung. Sehubungan itu, bagi mengetahui mengapa perlunya amalan menabung diterapkan dalam diri dan faedah menyimpan wang, Tanya Pakar mendapatkan pandangan Pensyarah Ekonomi Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof Madya Musalmah Abdullah. Kongsi tip menabung ini…

Apa sebenarnya definisi menabung?

Secara umum, tabungan bermaksud mengasingkan sejumlah wang dan dari segi kewangan. Ia juga bermaksud menyimpan sejumlah wang daripada pendapatan yang diperoleh untuk kegunaan di masa depan ataupun baki pendapatan selepas ditolak dengan perbelanjaan.

Apakah tujuan atau matlamat menabung dan bagaimana ia memberi kebaikan kepada seseorang individu?

Menabung atau menyimpan wang mempunyai pelbagai tujuan – sama ada jangka pendek atau jangka panjang. Ada yang menabung untuk membeli harta yang diimpikan, ada yang menabung untuk berkahwin dan ramai melakukannya untuk bekalan hari tua. Kebanyakan individu yang bekerja lazimnya memperuntukkan pendapatan untuk ditabung bagi keselesaan hidup selepas bersara.

Bagaimana cara sepatutnya untuk menabung? Adakah ia perlu dilakukan dengan mengasingkan sejumlah wang yang hendak ditabung setiap kali selepas baru menerima gaji atau menyimpan wang lebihan selepas melakukan semua perbelanjaan yang perlu?

Ada banyak cara orang menabung. Selain menabung dengan menyimpan wang di sesetengah tempat kerana belum ada kemudahan bank, antara cara lain yang pernah dipraktikkan masyarakat dulu ialah dengan menyimpan wang dengan cara membeli setem. Apabila berpeluang menyimpan sedikit wang belanja, mereka biasanya membeli setem dan menyimpannya di dalam album. Selepas beberapa lama setem berkenaan dikumpul, mereka akan menukarkannya untuk mendapatkan wang. Zaman sekarang, ada banyak pilihan untuk seseorang menyimpan wang. Sama ada dalam akaun simpanan di bank, amanah saham dan sebagainya. Cara menabung yang sebaik-baiknya ialah mengasingkan sebahagian daripada pendapatan selepas menerima gaji. Kadar yang hendak ditabung mungkin sekitar satu pertiga daripada jumlah pendapatan. Mengasingkan lebih awal jumlah wang yang hendak ditabung adalah lebih digalakkan kerana ia lebih terjamin daripada menunggu untuk menyimpannya sebaik menunggu gaji baru. Dalam tempoh menunggu itu, kemungkinan wang yang ada dibelanjakan adalah besar. Untuk lebih mudah dan lebih terjamin, cara pemotongan gaji bulanan juga dilihat sebagai kaedah berkesan.

Antara kaedah automatik seperti pemotongan gaji dan kaedah manual seperti penyimpanan sendiri (di mana-mana tempat strategik), mana satu yang lebih dianggap sebagai tabungan berkesan?

Ia bergantung kepada individu. Paling utama ialah kesedaran individu itu sendiri. Kesedaran untuk menabung di kalangan generasi masa kini boleh dikatakan agak kurang berbanding generasi dulu. Mungkin disebabkan perbezaan taraf ekonomi antara kedua-dua zaman ini. Orang dulu lebih cenderung menabung kerana mereka merasai sendiri bagaimana sukarnya mendapatkan wang. Berbeza dengan situasi sekarang di mana taraf kehidupan adalah lebih baik dan ramai yang sudah biasa hidup senang. Jadi mereka tidak begitu sedar mengenai kepentingan menabung. Ada di antara kita yang lebih berdisiplin dengan kaedah menabung manual kerana mereka tidak yakin untuk membuat potongan gaji. Ini kerana mereka tidak dapat menganggar berapa banyak wang yang dapat disimpan untuk sesuatu bulan. Selain itu, cara ini juga dianggap psikologi berkesan bagi sesetengah individu kerana mereka akan lebih terdorong atau bersemangat apabila melihat jumlah wang yang disimpan. Cara automatik atau forced saving seperti potongan gaji bulanan pula lebih selamat dan sesuai untuk mereka yang sukar mendisiplinkan diri membuat tabungan. Hasil ‘tabungan senyap’ ini biasanya akan menggembirakan seseorang selepas suatu tempoh yang lama.

Benarkah menabung banyak bersangkut-paut dengan sikap berjimat? Jjusteru untuk menabung, seseorang juga perlu mengamalkan sikap jimat-cermat dalam berbelanja?

Amalan menabung memang berkait rapat dengan amalan berjimat cermat. Wang yang berjaya disimpan hasil daripada perbelanjaan berjimat inilah yang selalunya dijadikan tabungan. Oleh itu, seseorang haruslah berbelanja dengan berhemah supaya mereka dapat membuat simpanan untuk kepentingan masa depan. Namun, diakui memang sukar untuk berjimat dan menabung dengan adanya pelbagai barangan menarik dan tawaran jualan hebat di sana-sini. Ini ditambah pula dengan kemudahan kredit yang begitu senang untuk diperoleh. Jadi, cara terbaik adalah dengan mengawal nafsu dan keinginan berbelanja.

Bagaimana jika jumlah pendapatan seseorang ‘cukup-cukup’ saja dan mereka tidak mampu untuk menabung?

Mempunyai pendapatan yang disifatkan sebagai ‘cukup-cukup’ tidak sepatutnya menjadi alasan untuk seseorang mengelak daripada menabung. Jika mereka merasakan pendapatan hanya ‘cukup-cukup’ untuk menampung kos sara hidup dan keperluan asas, mereka sepatutnya mencari jalan menambah pendapatan untuk dijadikan tabungan. Banyak perkara boleh dilakukan bagi menjana pendapatan sampingan. Umpamanya melakukan sesuatu yang kita mahir dan minat. Kemudahan internet juga boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan sampingan.

Adakah menabung perlu dilakukan secara sistematik? Maksudnya, jumlah yang sama perlu disimpan setiap bulan atau ia bergantung kepada jumlah pendapatan bulanan yang diterima? Jika pendapatan bagi bulan tertentu lebih tinggi apakah jumlah tabungan perlu ditambah?

Seseorang perlu ada suatu kadar peratusan yang tetap untuk disimpan setiap bulan. Mereka perlu mendisiplinkan diri untuk memenuhi kadar yang sudah ditetapkan untuk disimpan. Tetapi apabila mereka menerima lebihan pendapatan untuk sesuatu bulan, jumlah yang perlu ditabungkan juga sepatutnya ditingkatkan.

Adakah pelaburan jangka panjang seperti saham amanah adalah cara menabung yang lebih menguntungkan?

Pelaburan seperti saham amanah sememangnya suatu jenis tabungan yang menguntungkan dan disyorkan. Ini kerana ia berisiko rendah dan sesuai bagi mereka yang mahukan hasil dalam jangka masa panjang. Pelaburan begini lebih menguntungkan jika dimulakan dari usia muda. Selain saham amanah, menyimpan dan melabur menerusi koperasi juga menjadi alternatif baik. Ini keran sambil menyimpan, seseorang dapat menikmati faedah lain yang disediakan untuk ahli koperasi. Andai seseorang individu mempunyai minat serta bersungguh-sungguh menabung, mereka boleh mencari maklumat bagaimana membahagi-bahagikan wang mereka untuk disimpan dan dilaburkan dalam beberapa skim simpanan dan pelaburan. Tetapi harus dipastikan juga skim simpanan atau pelaburan itu sah di sisi undang-undang dan selamat.

Dalam situasi ekonomi yang agak suram sekarang, bagaimana dengan rutin menabung seseorang? Wajarkah jumlah tabungan dikurangkan atau adakah ini masa yang sesuai untuk menggunakan tabungan yang ada jika perlu?

Kegawatan ekonomi tidak terlalu menjejaskan jika seseorang tidak kehilangan pekerjaan tetap. Bagi mereka yang tidak menghadapi masalah terjejasnya kewangan, lebih baik dikekalkan saja tabungan wang seperti biasa. Tetapi, bagi mereka yang dibuang kerja atau dipotong gaji akibat kegawatan ekonomi, inilah waktunya tabungan yang dibuat selama ini boleh dimanfaatkan. Tabungan itu boleh dijadikan modal berniaga atau sebagainya sebelum mendapat kerja baru.

Rabu, 8 Februari 2012

KWSP Tidak Beri Pinjaman Kepada Individu

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ingin menjelaskan bahawa skim yang diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan baru-baru ini berhubung dengan cadangan penjualan perumahan awam kepada peserta yang layak, tidak melibatkan KWSP memberikan pinjaman kepada individu. Sehubungan itu, peserta yang berminat perlu memohon terus kepada Kementerian dan bukannya KWSP.

KWSP kini masih dalam perbincangan dengan syarikat tujuan khas (special purpose vehicle) di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan (SPV Yayasan WP) untuk memberikan pinjaman dengan syarat-syarat sedang dimuktamadkan. Pada asasnya syarat-syarat ini melibatkan kemudahan awal sebanyak RM300 juta dengan pinjaman selanjutnya akan dilluluskan atas budi bicara Panel Pelaburan KWSP tertakluk kepada prestasi memuaskan pengendalian akaun oleh SPV Yayasan WP. Kemudahan ini akan disemak semula 12 bulan selepas tarikh bayaran terakhir daripada jumlah RM300 juta dibuat.

“KWSP ingin memberikan jaminan kepada ahlinya bahawa semua pinjaman yang diberikan KWSP kepada Kerajaan Malaysia atau agensi kerajaan lain dibuat berdasarkan pertimbangan komersil dan dengan jaminan yang bersesuaian untuk melindungi kepentingan ahli,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pelaburan KWSP Dato’ Shahril Ridza Ridzuan sebagai penjelasan kepada pertanyaan yang diterima daripada orang ramai mengenai pinjaman tersebut.

Di dalam kes ini, SPV Yayasan WP akan mengadakan urusan pajakan (Skim Ijarah) dengan peserta individu. Hakmilik rumah-rumah tersebut kepunyaan SPV Yayasan WP sehingga urusan pajakan di bawah Skim Ijarah ini diselesaikan sepenuhnya oleh peserta terlibat. Pinjaman kepada SPV Yayasan WP adalah terjamin kerana semua unit rumah akan dicaj atau diuntukkan oleh SPV Yayasan WP kepada KWSP, dengan perlindungan jaminan sekurang-kurangnya dua kali ganda amaun pinjaman.

Di samping itu, terdapat penahanan tunai sebanyak 25 peratus daripada pembayaran pinjaman KWSP kepada SPV Yayasan WP yang akan disimpan dalam akaun rizab kecairan yang diuntukkan kepada KWSP bersama-sama dengan semua peruntukan aliran tunai.

“Syarat-syarat perjanjian pinjaman juga dalam risiko boleh diterima KWSP kerana ia dicagarkan terhadap aset dan aliran tunai dengan jaminan yang sesuai ke atas pembayaran balik pinjaman yang dibuat. KWSP difahamkan bahawa SPV Yayasan WP hanya akan memilih peserta yang mempunyai rekod bayaran sewa yang baik,” kata beliau.

“KWSP juga meminta SPV Yayasan WP melantik institusi kewangan yang bersesuaian untuk menguruskan pentadbiran pinjaman skim ini bagi memastikan akaun individu diuruskan dengan baik.”

Dato’ Shahril menambah di bawah cadangan syarat perjanjian, DBKL akan membeli balik rumah-rumah berkenaan bagi mendapatkan aliran tunai yang diperlukan untuk pembayaran balik pinjaman jika peserta tidak membayar pinjaman.  

“Berdasarkan syarat-syarat dan aturan jaminan yang telah KWSP kemukakan, KWSP dilindungi sepenuhnya dan kadar keuntungan tahunan sebanyak 5.5 peratus yang dikenakan adalah wajar,” kata beliau.

“KWSP sentiasa menyedari keprihatinan ahli dan ingin menegaskan bahawa simpanan persaraan mereka dilaburkan secara berhemah dalam rangka kerja urus tadbir yang baik dan menerima pakai profil risiko-pulangan yang konservatif,” jelas Dato’ Shahril. 


Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

Selasa, 7 Februari 2012

Rancang dana persaraan sebelum berumur 30 tahun


JIKA anda berusia kurang daripada 30, besar kemungkinan anda belum memikirkan tentang persaraan anda. Dan tiada sebab untuk anda merancang sejauh itu? Persaraan adalah sesuatu yang sangat jauh ke hadapan dan apabila masa itu tiba, anda menyangka anda sudah meraih sejuta ringgit dan hidup dalam kegembiraan? Salah.
Realitinya sangat berbeza seperti berikut:

1. Walaupun persaraan seperti dilihat masih jauh lagi, sebenarnya tidak.
2. Sejuta ringgit memang jumlah wang yang besar, tetapi hanya segelintir daripada kita akan memiliki simpanan sebanyak itu.
3. Selepas bersara, kebanyakan kita akan hidup selama 20 hingga 25 tahun lagi tanpa sebarang pendapatan.
4. Inflasi akan menghakis kuasa membeli simpanan anda.
5. Secara purata, seorang yang bekerja dan mempunyai simpanan persaraan sebanyak RM100,000, akan membelanjakan duit tersebut dalam tempoh 10 tahun saja.

Panik? Jangan. Mengambil berat? Ya.
Rakyat Malaysia harus memikirkan dengan serius tentang simpanan bagi persaraan masing-masing dan mengambil langkah proaktif untuk membuat perancangan mengenainya termasuk mereka berusia kurang daripada 30 tahun atau baru memulakan kerjaya. 

Ketika ini, sebahagian besar pekerja sektor swasta di Malaysia bergantung sepenuhnya kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk persaraan mereka. KWSP adalah skim tabungan yang mewajibkan ahli menyimpan sekurang-kurangnya 11% daripada pendapatan bulanan mereka dan 12% daripada majikan mereka. Ini bermakna 23% daripada pendapatan seseorang disimpan setiap bulan dalam akaun KWSP masing-masing. Kadar caruman 23% ini hanya kadar yang diwajibkan. Ahli dan majikan atau kedua-duanya boleh menyimpan melebihi kadar tersebut. 

Berdasarkan rekod KWSP, purata simpanan seorang ahli KWSP adalah RM100,000 apabila mencapai usia 54 iaitu setahun sebelum bersara. Bagaimanapun, sebahagian besar pesara didapati menghabiskan keseluruhan wang itu dalam tempoh kurang daripada 10 tahun. 

Purata jangkaan hayat rakyat Malaysia pada umur 55 tahun ialah : 83 tahun untuk wanita dan 78.6 tahun untuk lelaki. Bayangkan jika seseorang itu bersara pada umur 55 tahun dan menghabiskan simpanan KWSP dalam tempoh 10 tahun. Bagaimana mereka membiayai kehidupan selama 13 hingga 18 tahun lagi?
Selain daripada jumlah simpanan yang ada ketika bersara, faktor-faktor berikut juga perlu diambil kira:

1. Inflasi dan peningkatan kos sara hidup
Jika anda seorang kanak-kanak pada 70-an dan 80-an, anda mungkin pernah mendengar ibu bapa anda mengatakan, “Bila saya mendapat gaji pertama, saya berikan semuanya kepada emak, dan emak berikan saya RM50 untuk dibelanjakan.” 

Bagus sekali. Daripada muda lagi telah mula menabung tetapi persekitaran sekarang adalah berbeza. Cara hidup dan keperluannya telah berubah. Dalam lain perkataan, golongan muda hari ini perlu mengeluarkan banyak wang untuk kehidupan harian berbanding ibu bapa mereka. 

2. Perubahan norma sosial
Walaupun era memberikan seluruh gaji kepada emak anda mungkin sudah berlalu, pekerja muda hari ini masih memberikan sejumlah kecil gaji mereka kepada ibu bapa mereka sebagai penghargaan. 

Bagaimanapun, aliran ini akan berubah bagi generasi akan datang. Hari ini, lebih ramai orang berkahwin dan mempunyai anak pada usia yang lebih tua, sekali gus menyebabkan mereka mempunyai anak kecil untuk dibiayai termasuk bagi perbelanjaan pendidikan anak- anak walaupun mereka sudah mencecah usia persaraan.

3. Kos dan keperluan perubatan
Semakin kita tua, semakin kita memerlukan rawatan perubatan. Kos perubatan pula semakin meningkat dengan mendadak. Kita akan menghadapi kesulitan kewangan untuk membiayai rawatan perubatan terutama golongan yang tidak mempunyai insurans perubatan. 

Jika semua faktor ini diambil kira, kemungkinan besar simpanan KWSP kebanyakan ahli tidak mencukupi untuk memenuhi semua keperluan persaraan mereka. Jalan penyelesaiannya ialah berusaha meningkatkan simpanan untuk persaraan mengikut kemampuan masing-masing.

Tetapi bagaimana?
Menabung! Menabung! Menabung! Sebenarnya tiada jalan mudah. Menabung sebahagian pendapatan bulanan anda dengan tujuan persaraan dan tidak membelanjakan simpanan tersebut sebelum anda bersara membolehkan anda memiliki simpanan dalam jumlah yang lebih besar untuk persaraan.
Disiplin diri sangat penting. Anda harus menetapkan sasaran simpanan setiap bulan. Bandingkan pendapatan bulanan dengan perbelanjaan perlu seperti hutang rumah dan kereta, insurans, makanan, pengangkutan dan lain- lain. Kemudian tentukan jumlah yang akan disimpan setiap bulan. Pastikan anda berdisiplin dalam soal simpanan ini. Apabila anda mendapat gaji, keluarkan jumlah yang ditetapkan dan masukkan ke dalam akaun simpanan itu.

Katakan anda tinggal dengan ibu bapa anda dan mempunyai pendapatan bersih kira-kira RM2,500 sebulan. Anda perlu membayar ansuran pinjaman kereta, bayaran skim insurans, membayar bil telefon mudah alih, memberikan sejumlah kecil kepada ibu bapa anda setiap bulan, selain membantu membayar dua atau tiga bil di rumah. Anda mungkin boleh membuat perkiraan seperti ini:

Baki gaji anda pada setiap akhir bulan adalah RM570. Daripada berbelanja wang berkenaan secara tidak berfaedah, mengapa tidak anda menyimpan sebanyak RM200 atau lebih untuk masa depan anda?
Jika anda mempertimbangkan untuk menyimpan RM200 sebulan bagi keseluruhan tempoh kerjaya anda, katakanlah selama 30 tahun, jumlah keseluruhan simpanan anda ialah RM72,000. Jika dicampur faedah ke atas simpanan tersebut, jumlah ini dengan mudah akan berganda kepada RM144,000 apabila anda bersara. Dicampur dengan simpanan KWSP sebanyak RM100,000, anda akan bersara dengan lebih selesa.

Anda juga tidak harus lupa bahawa wang yang disimpan akan bertambah dan apabila ia bertambah, anda perlu bijak untuk menabung dan di mana ia harus dilaburkan. Mempelbagaikan saluran simpanan memerlukan anda membuat keputusan yang bijak. Bertanya dan belajar mengenai manfaat menyimpan wang dalam simpanan tetap dalam institusi kewangan terkemuka atau melabur dalam saham amanah. 

Anda juga boleh membeli insurans yang memberikan perlindungan sepanjang hayat, kemalangan, perubatan, endowmen, dan juga pendidikan untuk anak-anak. Jika anda memiliki insurans tersebut, anda tidak perlu mengeluarkan simpanan KWSP bagi membiayai kos perubatan yang tidak dijangka atau membayar yuran pendidikan tinggi anak-anak di kemudian hari. Ini akan memastikan simpanan KWSP untuk persaraan adalah lebih besar nilainya. 

Hartanah juga satu bentuk pelaburan yang baik dan harus dipertimbangkan selepas seseorang mempunyai simpanan yang mencukupi. Walaupun KWSP membenarkan ahli mengeluarkan simpanan daripada Akaun II untuk membeli rumah, adalah lebih bijak wang simpanan KWSP anda tidak dikeluarkan jika anda mampu mendapatkan pembiayaan perumahan daripada bank.

Persaraan dan perancangan kewangan memerlukan banyak pertimbangan, perancangan dan disiplin. Menabung ketika memulakan kerjaya pada usia muda akan memudahkan dan mengurang beban pada kemudian hari.

Walaupun menabung wang bukan sesuatu yang mudah terutama dengan pelbagai tarikan daripada pasaran pengguna, ia adalah kaedah yang membolehkan anda bersara dengan lebih selesa. Kepada mereka yang berhadapan dengan masalah untuk menabung, terdapat satu lagi pilihan akhir yang mudah bagi memastikan anda mempunyai simpanan yang mencukupi apabila bersara iaitu bersaralah pada usia 75 tahun!