JIKA anda berusia kurang daripada 30, besar kemungkinan anda belum
memikirkan tentang persaraan anda. Dan tiada sebab untuk anda merancang
sejauh itu? Persaraan adalah sesuatu yang sangat jauh ke hadapan dan
apabila masa itu tiba, anda menyangka anda sudah meraih sejuta ringgit
dan hidup dalam kegembiraan? Salah.
Realitinya sangat berbeza seperti berikut:
1. Walaupun persaraan seperti dilihat masih jauh lagi, sebenarnya tidak.
2. Sejuta ringgit memang jumlah wang yang besar, tetapi hanya segelintir daripada kita akan memiliki simpanan sebanyak itu.
3. Selepas bersara, kebanyakan kita akan hidup selama 20 hingga 25 tahun lagi tanpa sebarang pendapatan.
4. Inflasi akan menghakis kuasa membeli simpanan anda.
5. Secara purata, seorang yang bekerja dan mempunyai simpanan
persaraan sebanyak RM100,000, akan membelanjakan duit tersebut dalam
tempoh 10 tahun saja.
Panik? Jangan. Mengambil berat? Ya.
Rakyat Malaysia harus memikirkan dengan serius tentang simpanan bagi
persaraan masing-masing dan mengambil langkah proaktif untuk membuat
perancangan mengenainya termasuk mereka berusia kurang daripada 30 tahun
atau baru memulakan kerjaya.
Ketika ini, sebahagian besar pekerja sektor swasta di Malaysia
bergantung sepenuhnya kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk
persaraan mereka. KWSP adalah skim tabungan yang mewajibkan ahli
menyimpan sekurang-kurangnya 11% daripada pendapatan bulanan mereka dan
12% daripada majikan mereka. Ini bermakna 23% daripada pendapatan
seseorang disimpan setiap bulan dalam akaun KWSP masing-masing. Kadar
caruman 23% ini hanya kadar yang diwajibkan. Ahli dan majikan atau
kedua-duanya boleh menyimpan melebihi kadar tersebut.
Berdasarkan rekod KWSP, purata simpanan seorang ahli KWSP adalah
RM100,000 apabila mencapai usia 54 iaitu setahun sebelum bersara.
Bagaimanapun, sebahagian besar pesara didapati menghabiskan keseluruhan
wang itu dalam tempoh kurang daripada 10 tahun.
Purata jangkaan hayat rakyat Malaysia pada umur 55 tahun ialah : 83
tahun untuk wanita dan 78.6 tahun untuk lelaki. Bayangkan jika seseorang
itu bersara pada umur 55 tahun dan menghabiskan simpanan KWSP dalam
tempoh 10 tahun. Bagaimana mereka membiayai kehidupan selama 13 hingga
18 tahun lagi?
Selain daripada jumlah simpanan yang ada ketika bersara, faktor-faktor berikut juga perlu diambil kira:
1. Inflasi dan peningkatan kos sara hidup
Jika anda seorang kanak-kanak pada 70-an dan 80-an, anda mungkin
pernah mendengar ibu bapa anda mengatakan, “Bila saya mendapat gaji
pertama, saya berikan semuanya kepada emak, dan emak berikan saya RM50
untuk dibelanjakan.”
Bagus sekali. Daripada muda lagi telah mula menabung tetapi
persekitaran sekarang adalah berbeza. Cara hidup dan keperluannya telah
berubah. Dalam lain perkataan, golongan muda hari ini perlu
mengeluarkan banyak wang untuk kehidupan harian berbanding ibu bapa
mereka.
2. Perubahan norma sosial
Walaupun era memberikan seluruh gaji kepada emak anda mungkin sudah
berlalu, pekerja muda hari ini masih memberikan sejumlah kecil gaji
mereka kepada ibu bapa mereka sebagai penghargaan.
Bagaimanapun, aliran ini akan berubah bagi generasi akan datang. Hari
ini, lebih ramai orang berkahwin dan mempunyai anak pada usia yang
lebih tua, sekali gus menyebabkan mereka mempunyai anak kecil untuk
dibiayai termasuk bagi perbelanjaan pendidikan anak- anak walaupun
mereka sudah mencecah usia persaraan.
3. Kos dan keperluan perubatan
Semakin kita tua, semakin kita memerlukan rawatan perubatan. Kos
perubatan pula semakin meningkat dengan mendadak. Kita akan menghadapi
kesulitan kewangan untuk membiayai rawatan perubatan terutama golongan
yang tidak mempunyai insurans perubatan.
Jika semua faktor ini diambil kira, kemungkinan besar simpanan KWSP
kebanyakan ahli tidak mencukupi untuk memenuhi semua keperluan persaraan
mereka. Jalan penyelesaiannya ialah berusaha meningkatkan simpanan
untuk persaraan mengikut kemampuan masing-masing.
Tetapi bagaimana?
Menabung! Menabung! Menabung! Sebenarnya tiada jalan mudah. Menabung
sebahagian pendapatan bulanan anda dengan tujuan persaraan dan tidak
membelanjakan simpanan tersebut sebelum anda bersara membolehkan anda
memiliki simpanan dalam jumlah yang lebih besar untuk persaraan.
Disiplin diri sangat penting. Anda harus menetapkan sasaran simpanan
setiap bulan. Bandingkan pendapatan bulanan dengan perbelanjaan perlu
seperti hutang rumah dan kereta, insurans, makanan, pengangkutan dan
lain- lain. Kemudian tentukan jumlah yang akan disimpan setiap bulan.
Pastikan anda berdisiplin dalam soal simpanan ini. Apabila anda mendapat
gaji, keluarkan jumlah yang ditetapkan dan masukkan ke dalam akaun
simpanan itu.
Katakan anda tinggal dengan ibu bapa anda dan mempunyai pendapatan
bersih kira-kira RM2,500 sebulan. Anda perlu membayar ansuran pinjaman
kereta, bayaran skim insurans, membayar bil telefon mudah alih,
memberikan sejumlah kecil kepada ibu bapa anda setiap bulan, selain
membantu membayar dua atau tiga bil di rumah. Anda mungkin boleh membuat
perkiraan seperti ini:
Baki gaji anda pada setiap akhir bulan adalah RM570. Daripada
berbelanja wang berkenaan secara tidak berfaedah, mengapa tidak anda
menyimpan sebanyak RM200 atau lebih untuk masa depan anda?
Jika anda mempertimbangkan untuk menyimpan RM200 sebulan bagi
keseluruhan tempoh kerjaya anda, katakanlah selama 30 tahun, jumlah
keseluruhan simpanan anda ialah RM72,000. Jika dicampur faedah ke atas
simpanan tersebut, jumlah ini dengan mudah akan berganda kepada
RM144,000 apabila anda bersara. Dicampur dengan simpanan KWSP sebanyak
RM100,000, anda akan bersara dengan lebih selesa.
Anda juga tidak harus lupa bahawa wang yang disimpan akan bertambah
dan apabila ia bertambah, anda perlu bijak untuk menabung dan di mana ia
harus dilaburkan. Mempelbagaikan saluran simpanan memerlukan anda
membuat keputusan yang bijak. Bertanya dan belajar mengenai manfaat
menyimpan wang dalam simpanan tetap dalam institusi kewangan terkemuka
atau melabur dalam saham amanah.
Anda juga boleh membeli insurans yang memberikan perlindungan
sepanjang hayat, kemalangan, perubatan, endowmen, dan juga pendidikan
untuk anak-anak. Jika anda memiliki insurans tersebut, anda tidak perlu
mengeluarkan simpanan KWSP bagi membiayai kos perubatan yang tidak
dijangka atau membayar yuran pendidikan tinggi anak-anak di kemudian
hari. Ini akan memastikan simpanan KWSP untuk persaraan adalah lebih
besar nilainya.
Hartanah juga satu bentuk pelaburan yang baik dan harus
dipertimbangkan selepas seseorang mempunyai simpanan yang mencukupi.
Walaupun KWSP membenarkan ahli mengeluarkan simpanan daripada Akaun II
untuk membeli rumah, adalah lebih bijak wang simpanan KWSP anda tidak
dikeluarkan jika anda mampu mendapatkan pembiayaan perumahan daripada
bank.

Persaraan dan perancangan kewangan memerlukan banyak pertimbangan,
perancangan dan disiplin. Menabung ketika memulakan kerjaya pada usia
muda akan memudahkan dan mengurang beban pada kemudian hari.
Walaupun menabung wang bukan sesuatu yang mudah terutama dengan
pelbagai tarikan daripada pasaran pengguna, ia adalah kaedah yang
membolehkan anda bersara dengan lebih selesa. Kepada mereka yang
berhadapan dengan masalah untuk menabung, terdapat satu lagi pilihan
akhir yang mudah bagi memastikan anda mempunyai simpanan yang mencukupi
apabila bersara iaitu bersaralah pada usia 75 tahun!

Tiada ulasan:
Catat Ulasan