Pakar-pakar pencen dan pasaran buruh, pengurus dana
serta pembuat dasar awam dari dalam dan luar negara hari ini berkumpul
menghadiri seminar antarabangsa bertemakan “Evolusi Dinamik Dunia
Pencen” anjuran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kuala Lumpur.
Seminar
dua hari ini bertujuan untuk menangani perkembangan terkini dan cabaran
yang dihadapi dalam peruntukan pendapatan persaraan kesan daripada
perubahan ekonomi global, demografi, lanskap politik dan sosial sejak
beberapa tahun kebelakangan ini.
Seminar ini
dirasmikan oleh Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Menteri Sumber Manusia
dan turut dihadiri oleh Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman, Pengerusi
Jawatankuasa Penambahbaikan Lembaga KWSP Tan Sri Lee Lam Thye yang juga
penganjur seminar serta 330 peserta dari dalam dan luar negara.
Berucap
di majlis tersebut, Tan Sri Lee Lam Thye mengakui bahawa krisis
kewangan global yang baru berlalu telah memberikan kesan kepada pencen
menyebabkan kebanyakan dana pencen mengurangkan pendedahan terhadap
risiko. Bagaimanapun, pengurangan tahap risiko ini akan menyebabkan
tekanan kepada pulangan jangka panjang daripada pelaburan pasaran saham
dan mencabar kepercayaan konvensional bahawa saham menjana pulangan yang
lebih tinggi berbanding bon.
Tan Sri Samsudin Osman berkata, “Objektif seminar dua hari ini adalah untuk mendedahkan pihak berkepentingan seperti majikan, ahli dan agensi kerajaan yang berkaitan, kepada cabaran-cabaran yang dihadapi oleh sistem persaraan global dan keperluan untuk reformasi pencen. Ia juga bertujuan untuk mendapatkan maklum balas dan sokongan daripada pihak berkepentingan mengenai inisiatif reformasi pencen nasional yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan.”
Tan Sri Samsudin Osman berkata, “Objektif seminar dua hari ini adalah untuk mendedahkan pihak berkepentingan seperti majikan, ahli dan agensi kerajaan yang berkaitan, kepada cabaran-cabaran yang dihadapi oleh sistem persaraan global dan keperluan untuk reformasi pencen. Ia juga bertujuan untuk mendapatkan maklum balas dan sokongan daripada pihak berkepentingan mengenai inisiatif reformasi pencen nasional yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan.”
Antara penceramah terkenal yang
terlibat ialah Encik Edward Whitehouse (Organisasi Kerjasama Ekonomi dan
Pembangunan), Encik Hiroshi Yamabana (Pertubuhan Buruh Antarabangsa),
Dr. Donghyun Park (Bank Pembangunan Asia) dan Datuk Latifah Merican
Cheong Penasihat kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Seminar
ini juga menyediakan peluang kepada penceramah dan peserta termasuk
daripada Switzerland, Perancis, Australia, Singapura, Bhutan, Laos,
Oman, Thailand, Filipina, India dan negara-negara lain untuk belajar dan
berkongsi pengetahuan mereka. Dengan melihat kepada keunikan sistem
persaraan pelbagai negara, seminar ini juga merupakan platform kepada
para peserta dan penceramah untuk saling bertukar-tukar idea dalam
menangani cabaran yang dihadapi oleh sistem pencen dan bagaimana setiap
sistem boleh menerap kelebihan sistem yang lain bagi menyediakan masa
depan dan kehidupan persaraan yang lebih baik.
Bersempena
dengan seminar ini, satu majlis menandatangani perjanjian telah
diadakan untuk mengumumkan kerjasama antara KWSP dan Universiti Malaya
bagi menubuhkan Pusat Penyelidikan Keselamatan Sosial di Fakulti Ekonomi
dan Pentadbiran, Universiti Malaya. Pusat tersebut akan bekerjasama
rapat dengan Kursi Perlindungan Kewangan Hari Tua yang ditubuhkan di
Universiti Malaya dan dibiayai oleh KWSP.
Kursi
tersebut mula ditubuhkan pada Ogos 2008 dengan objektif untuk
meningkatkan kesedaran di kalangan pembuat dasar dan rakyat Malaysia
berkaitan isu hari tua dan persaraan. Pusat Penyelidikan Keselamatan
Sosial kemudiannya telah diwujudkan pada Mac 2011 oleh Lembaga KWSP dan
Universiti Malaya untuk menyokong aktiviti yang dijalankan di bawah
Kursi tersebut.
“Selain daripada mewujudkan
kesedaran, pemindahan pengetahuan dan penyebaran maklumat berkaitan
dengan perlindungan warga tua, Pusat ini turut berperanan sebagai pusat
tumpuan untuk kertas-kertas polisi, kerja-kerja perundingan dan kajian
akademik mengenai keselamatan sosial bagi rakyat Malaysia dan masyarakat
antarabangsa,” kata Tan Sri Samsudin.
Naib
Canselor Universiti Malaya, Tan Sri Profesor Dr. Ghauth Jasmon, berkata
Kursi dan Pusat ini akan membantu membina asas kukuh dan meningkatkan
pengetahuan mengenai polisi awam terutamanya berkaitan dengan persaraan
dan perlindungan hari tua di kalangan ahli akademik universiti tempatan
serta generasi graduan akan datang dalam bidang yang berkaitan.
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana simpanan persaraan terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai
sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan
perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan
berdaftar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan